combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,136
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,136
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Bapa Dipenjara 30 Tahun Sebabkan Kematian Bayi Perempuan Berusia Dua Bulan
Seorang lelaki yang merayu hukuman penjara terhadapnya kerana menyebabkan kematian anak perempuannya berusia dua bulan dikurangkan, sebaliknya dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, yang menyampaikan keputusan panel tiga hakim berkata walaupun pihak pendakwaan tidak membuat rayuan balas terhadap hukuman itu, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara di bawah Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) untuk meningkatkan hukuman Muhammad Daniel Iman Mohd Sharif.
Turut bersidang dalam panel itu Hakim Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.
Hayatul Akmal berkata hukuman penjara 16 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam tidak mencerminkan keseriusan kesalahan dan keganasan yang dilakukan.
Mahkamah mengetepikan hukuman penjara 16 tahun dan menggantikan dengan hukuman maksimum 30 tahun penjara di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Ogos 2022.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hayatul Akmal berkata mahkamah telah mengambil kira hakikat bahawa mangsa merupakan bayi berusia dua bulan yang tidak berdaya serta bergantung sepenuhnya kepada perlindungan ibu bapanya.
“Malangnya, dalam kes ini bayi tersebut sebaliknya dianiaya. Perbuatan ini bukan kejadian terpencil, sebaliknya merupakan tindakan berulang yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata pada 30 Julai 2022, ibu bayi berkenaan terdengar tangisan anaknya dari ruang tamu, yang turut didiami oleh perayu.
Beliau berkata perayu kemudian mengangkat bayi itu dari atas kusyen yang diletakkan dilantai sebelum menghempaskannya, menyebabkan bayi itu menangis sebelum pada keesokkan harinya perayu menarik tangan bayi tersebut, menekan perut dan sekali lagi menghempaskannya di atas kusyen sehingga kepalanya terhantuk pada bucu meja, menyebabkan kecederaan pada kepala.