BTC USD 76,148.2 Gold USD 4,271.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bank boleh tangguh atau tolak pindahan wang bagi tangani penipuan - apa kesannya terhadap pelanggan?

Bob_SG

Fun Poster
Messages
719
Joined
Jun 14, 2025
Messages
719
Reaction score
2
Points
25
screenshot_2025-10-07_101556.png

Mangsa penipuan menggunakan telefon bimbit. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Bermula 15 Oktober, langkah baharu antipenipuan akan membolehkan bank menangguhkan atau menolak pindahan wang daripada akaun yang mempunyai baki sekurang-kurangnya S$50,000 (AS$38,700), sekiranya wang yang dikeluarkan dalam tempoh 24 jam melebihi separuh daripada jumlah dana dalam akaun tersebut.

Bank-bank runcit utama termasuk DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered akan melaksanakan langkah perlindungan ini bagi semua akaun semasa dan simpanan, termasuk akaun bersama.

ADVERTISEMENT

Langkah ini akan dilaksanakan kepada semua urus niaga perbankan digital yang dilakukan melalui aplikasi bank dan perbankan internet.

Beberapa urus niaga digital yang sah, seperti arahan tetap berulang atau bayaran GIRO, akan dikecualikan.

Bagaimana ia berfungsi?

Perlindungan ini akan diaktifkan apabila satu transaksi perbankan digital - bersama-sama dengan pengeluaran wang lain dalam tempoh 24 jam - menyebabkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki akaun dipindahkan keluar.

Urus niaga tersebut dan sebarang transaksi seterusnya akan ditangguhkan selama 24 jam atau ditolak.

ADVERTISEMENT

Pelanggan akan dimaklumkan melalui aplikasi perbankan mudah alih atau platform perbankan internet mereka, dan diberikan arahan lanjut.

Dalam tempoh bertenang 24 jam ini, pelanggan yang menyedari bahawa mereka sudah menjadi mangsa penipuan boleh membatalkan transaksi itu.

Jika transaksi tersebut sah, wang akan dilepaskan selepas tempoh tersebut.

Mengapa langkah ini diperkenalkan?

Menurut data dari Januari hingga Jun tahun ini, yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ogos, rakyat Singapura kerugian sebanyak S$456.4 juta akibat penipuan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

ADVERTISEMENT

Walaupun jumlah ini 12.6 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu, pakar berkata bahawa orang ramai tidak seharusnya leka.

Cik Frances Yong, pengasas syarikat kesedaran keselamatan siber dan celik digital White Byte, berkata penipuan terus berubah-ubah dengan kemunculan teknologi baharu.

“Kita mungkin fikir warga emas sahaja yang mudah terpedaya, tetapi sebenarnya sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa,” katanya.

Cik Radish Singh, iaitu peneraju pengurusan risiko khidmat kewangan ASEAN di firma EY, menyifatkan langkah baharu ini sebagai perlu.

“Walaupun jumlah kes telah menurun disebabkan langkah industri yang lebih tegas, penipu kini lebih canggih. Memandangkan transaksi digital berlaku dengan pantas, campur tangan selalunya berlaku terlalu lambat,” katanya.

ADVERTISEMENT

Apakah langkah lain yang diambil pihak bank?

Sebelum ini, bank sudah pun memperkukuh keupayaan teknologi dan rangka kerja kawalan mereka.

Pada 2023, bank-bank utama melaksanakan langkah bagi mencegah perisian hasad (malware) untuk menyekat akses pelanggan kepada perkhidmatan digital sekiranya aplikasi daripada sumber tidak sah dikesan.

Beberapa bank turut memperkenalkan ciri “money lock” yang membolehkan pelanggan menyimpan sebahagian wang yang tidak boleh dipindahkan secara digital.

Pada Oktober 2024, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperkenalkan garis panduan tentang rangka kerja bagi pembahagian tanggungjawab atas kerugian akibat penipuan pancingan data antara institusi kewangan dan pengguna.

Di bawah garis panduan tersebut, institusi kewangan perlu menjalankan tempoh bertenang 12 jam selepas token keselamatan digital diaktifkan, di mana aktiviti tertentu tidak dibenarkan.

Pada Januari 2025, parlimen turut meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Daripada Penipuan (Protection from Scams Bill) yang membenarkan polis mengarahkan bank menyekat urus niaga pelanggan yang berisiko menjadi mangsa penipuan.

Adakah hubungan bank dan pelanggan kian berubah?

Sesetengah pihak mungkin merasakan bank semakin mengawal dana pelanggan, namun menurut pensyarah kanan undang-undang Prof Madya Kelvin Law dari Sekolah Perniagaan Nanyang, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dari sudut undang-undang, wang dalam akaun bank tetap milik pelanggan.

Cik Yong dari White Byte menambah bahawa jika pelanggan diberi kawalan sepenuhnya tanpa sebarang perlindungan, mereka mungkin tidak sedar akan risiko yang wujud.

Justeru, menurutnya, mewujudkan penanda aras dan menyesuaikannya berdasarkan maklum balas adalah pendekatan yang lebih baik.

Pakar turut mencadangkan supaya lebih banyak data dan maklum balas dikumpulkan bagi menilai sama ada ambang yang ditetapkan - S$50,000, 50 peratus dana, dan tempoh bertenang 24 jam - benar-benar sesuai.

Prof Madya Law memberi amaran bahawa bagi pelanggan yang mempunyai baki besar, jumlah wang yang boleh dikeluarkan masih tinggi walaupun pada had 50 peratus.

Beliau menjangka sesetengah pihak mungkin akan mengeluarkan dana secara strategik pada kadar 49 peratus untuk mengelak sekatan.

Sebaliknya, Cik Yong berkata paras ambang 50 peratus mungkin terlalu rendah bagi pelanggan berpendapatan rendah.

Apa yang perlu diberi perhatian?

Dengan langkah tambahan ini, Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS) menyatakan bahawa pelanggan mungkin akan mengalami kelengahan dalam pembayaran dan pemindahan digital, termasuk untuk transaksi yang sah.

Justeru, pelanggan dinasihatkan supaya merancang lebih awal bagi urus niaga yang sensitif terhadap masa.

Bagi mereka yang mahukan lebih banyak fleksibiliti, mereka disyorkan untuk membuka akaun tambahan dan memastikan baki dalam akaun tersebut tidak melebihi S$50,000.

Langkah ini mungkin menambah sedikit kesulitan dalam proses perbankan, namun secara asasnya dijangka dapat mengurangkan kadar penipuan dengan ketara.

 
Back
Top
Log in Register