ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Keratan akhbar Sinar Harian, 3 April lalu.
JELI - Balai Bomba dan Penyelamat Jeli hanya boleh membantu pemilik alat pemadam api di daerah ini mendapatkan maklumat mengenai syarikat penyelenggaraan yang berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balainya, Penolong Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata, sebagai balai bomba yang tidak mempunyai Sistem Pemeriksaan Pemadam Api Elektronik (e-FEIS), pihaknya hanya perantara untuk orang ramai mendapatkan maklumat tersebut.
Katanya, bagi pemilik alat pemadam api di daerah ini, kontraktor atau syarikat penyelenggaraan alat pemadam api berdaftar paling hampir untuk mereka berurusan ialah di daerah berjiran, Tanah Merah.
"Untuk selenggaraan kali pertama, pemilik kena berurusan dengan kontraktor untuk daftar alat pemadam api mereka dalam sistem e-FEIS dan bila hampir tamat tempoh, sistem akan beri peringatan kepada kontraktor untuk selenggara.
"Mana-mana anggota termasuk di Balai Bomba dan Penyelamat Jeli tidak dibenarkan menerima wang dan menyelenggarakan alat pemadam api bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa," katanya, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan beberapa pemilik alat pemadam api dari Kampung Batu Melintang, dekat sini, mengenai kesukaran untuk menyelenggarakan peralatan itu yang disiarkan akhbar ini, Jumaat lalu.
Pengadu turut mempersoalkan peranan Balai Bomba dan Penyelamat Jeli apabila diberitahu perlu membawa sendiri alat pemadam api ke Tanah Merah untuk diperiksa dan diselenggarakan.
Menurut Soleh, terdapat 21 syarikat berdaftar di seluruh negeri ini yang diperakui JBPM Kelantan untuk menyelenggarakan dan membekalkan alat pemadam api.
Bagi pusat e-FEIS pula, katanya, hanya lima balai bomba di negeri ini mempunyai sistem tersebut iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah.
"Sistem ini memberikan kemudahan kepada kontraktor mendaftar alat pemadam api yang diselenggarakan, membuat tempahan pemeriksaan di pusat e-FEIS dan pembayaran secara dalam talian.
"Alat pemadam api yang diselenggarakan kemudiannya perlu dibawa ke pusat e-FEIS untuk diperiksa pada tarikh ditempah sebelum pelekat kod bar dikeluarkan bagi pengesahan pemadam api yang diluluskan," katanya.
Tambah beliau, sistem e-FEIS seterusnya akan memberikan peringatan kepada kontraktor untuk membuat pemeriksaan susulan apabila alat pemadam api yang direkodkan itu hampir tamat tempoh.
"Jika kontraktor gagal membuat pemeriksaan susulan, pemilik alat pemadam api ini boleh menghubungi Bahagian Keselamatan Kebakaran, JBPM untuk membuat aduan," ujarnya.
Katanya, selain meningkatkan mutu perkhidmatan JBPM kepada orang ramai, sistem e-FEIS melancarkan operasi pemantauan jabatan itu terhadap kontraktor dan keselamatan alat pemadam api.