ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
JOHOR BAHRU 20 Mei – Polis menemukan bahagian badan dan beberapa cebisan daging yang dipercayai milik janin yang dijumpai di loji kumbahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, bahagian dada sebesar tapak tangan dewasa dan cebisan daging yang ditemukan kira-kira pukul 5 petang itu dihantar kepada pihak hospital untuk dibedah siasat.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan sehingga kini belum menjumpai bahagian kepala janin dan masih tidak menahan mana-mana pihak bagi membantu siasatan.
“Setakat ini hanya tiga individu dipanggil untuk memberi keterangan iaitu penyelia dan dua pekerja kumbahan tersebut. Kita memerlukan maklumat berguna dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan itu untuk bantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung perkembangan kes janin berusia tujuh bulan yang ditemukan di loji kumbahan PPR Kempas Permai dengan kaki dan tangan yang dipotong kepada 15 bahagian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Penemuan janin pada Isnin lalu itu menggemparkan negara dan siasatan masih dijalankan di kawasan berkenaan berikutan bahagian kepala dan tubuh janin tersebut belum ditemukan.
Rusli berkata, pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penyelenggaraan kumbahan tersebut bersama penduduk setempat bagi mencari individu bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan.
“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi kerjasama yang baik malah mereka turut membuat solat hajat memohon petunjuk bagi menyelesaikan kes ini.
“Anggota badan janin tersebut akan kita simpan selama 14 hari. Sekiranya tidak ada waris yang datang menuntutnya, pihak hospital akan kebumikan mangsa dengan cara Islam,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang secara sulit yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika disabit kesalahan.