Firman Allah Taala:
الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: “orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa Sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa Yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” [al-Baqarah: 275].
Dan firmanNya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (278) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ (279)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” [al-Baqarah: 278-279].
Rasulullah s.a.w bersabda:
أَلاَ إِنَّ كُلَّ رِبًا مِنْ رِبَا الْجَاهِلِيَّةِ مَوْضُوعٌ لَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya setiap riba daripada riba jahiliah adalah batil, bagi kamu asal modal, kamu (dengan itu) tidak melakukan kezaliman dan tidak pula dizalimi”. [Abu Daud dan Ibn Majah, sahih].
Maka dengan ini difahami ‘bunga’ atau ‘faedah’ yang dikenakan pihak ceti, along, bank, dan sesiapa sahaja yang memberi pinjaman secara bayaran bertambah ini adalah riba jahiliah yang haram dengan ijmak dan kafirlah orang yang menghalalkannya kerana haramnya riba nasiah ini maklum secara daruri setiap muslim sama ada alim atau tidak.
Seseorang yang membuat pinjaman dengan along atau ceti atau lainnya secara riba adalah orang yang memerangi Allah Taala dan RasulNya serta pemerintah hendaklah menghukum si pemberi pinjam dan yang meminjam kemudian si peminjam hendaklah diperintah membayar jumlah asal pinjamannya dan jika dia tidak mampu pemerintah perlulah membantunya dengan wang Baitul Mal jika dia seorang muslim dan tujuan dia membuat pinjaman adalah untuk sesuatu yang halal.
Termasuk dalam riba nasiah ini semua jenis dan bentuk hutang misalnya kita membeli rumah dengan bayaran ansuran bulanan RM 500 sebulan dibayar pada 29 hari bulan Qamariah setiap bulan. Jika tiba pada masanya kita tidak membayarnya lalu kita bayar pada waktu selepasnya maka dikenakan penalti sebanyak 1% atau 0.01% maka ini adalah riba dan pelakunya adalah orang yang menentang Allah Taala dan RasulNya serta wajib atasnya neraka selagi dia tidak bertaubat.-Nauzubillah min zalik-.