BTC USD 76,148.2 Gold USD 4,271.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Akses Awal BUDI Diesel Berjalan Lancar, Rakyat Mula Nikmati Penjimatan Kos Bahan Api

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,766
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,766
Reaction score
289
Points
146

Akses Awal BUDI Diesel Berjalan Lancar, Rakyat Mula Nikmati Penjimatan Kos Bahan Api​

49d5b347b71d7fff3ace681edf39d5ee6a3f6f7833a0e


Rakyat yang layak mula menikmati penjimatan kos bahan api apabila pelaksanaan akses awal program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula hari ini, dengan proses pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar.

Akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia menyaksikan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian, manakala pelaksanaan penuh bermula pada 1 Julai di seluruh negara, dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.

Tinjauan Bernama di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini mendapati proses pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Seorang pengguna, Hazwan Nik Ismail, 28, berkata proses mengisi minyak menggunakan MyKad tidak rumit dan hanya mengambil masa yang singkat.

“Proses permohonan bagi mendapatkan subsidi diesel ini juga mudah kerana boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Di KEDAH, penyelia sebuah stesen minyak di Seberang Pendang, Mohd Faizal Ishak berkata pihaknya telah menjalankan ujian sistem sebanyak dua kali pada semalam dan hari ini bagi memastikan proses transaksi berjalan lancar.

Setakat 11 pagi tadi, katanya hampir 10 pelanggan yang layak telah berjaya menikmati kemudahan tersebut tanpa sebarang gangguan.

Dalam pada itu, pengusaha kebun durian Ai Tean Ai Ching, 65, berkata pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel amat membantu rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

"Saya kerja di kebun sahaja. Hari ini saya isi diesel RM70 dan memperoleh 32.56 liter. Jika tanpa subsidi, saya perlu membayar RM132.51. Bantuan ini benar-benar meringankan beban," katanya.

 
Back
Top
Log in Register