combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
AKPS Rantau Panjang Bongkar Helah Isytihar Ikan, Kerang Seludup 100kg Udang Thailand
Udang harimau dari Thailand yang dikesan dalam cubaan dibawa masuk ke Malaysia tanpa kebenaran pada operasi bersepadu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang menggagalkan cubaan pertama membawa masuk 100 kilogram (kg) udang harimau perang dari Thailand sejak sekatan sementara pengimportan lima spesies udang dari negara itu berkuat kuasa pada 1 Jun lepas.
Komander AKPS Rantau Panjang Siti Khadijah Hamzah berkata cubaan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu melibatkan AKPS Rantau Panjang, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, hari ini.
Beliau berkata pemandu lori terbabit mengemukakan invois yang mengisytiharkan muatan ikan dan kerang, namun pemeriksaan manual mendapati terdapat tong yang mengandungi udang harimau perang disembunyikan di bahagian paling bawah muatan.
“Ini merupakan kali pertama pihak kami menemukan udang yang dilarang dibawa masuk selepas pelaksanaan sekatan sementara pengimportan lima spesies udang dari Thailand yang berkuat kuasa pada 1 Jun lepas,
“Taktik mengisytiharkan barangan lain bagi mengaburi pihak berkuasa dipercayai digunakan untuk menyembunyikan udang yang dilarang diimport ke negara ini,” katanya dalam sidang media di Kompleks ICQS Rantau Panjang, hari ini.
Siti Khadijah berkata pemeriksaan teliti oleh anggota AKPS berjaya mengesan cubaan itu walaupun dokumen pengisytiharan tidak menunjukkan kewujudan udang berkenaan.
Beliau berkata kes itu dirujuk kepada MAQIS Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersetuju melaksanakan sekatan sementara terhadap pengimportan udang harimau perang, udang siong, udang pisang, udang biru dan udang putih dari Thailand berkuat kuasa 1 Jun 2026.
Keputusan itu dibuat selaras dengan prinsip perdagangan yang adil serta sebagai langkah timbal balas terhadap sekatan sama yang dikenakan Thailand ke atas lima spesies udang terpilih dari Malaysia.