52 rakyat SG diberkas, ditahan di China kerana disyaki terlibat dalam skim piramid
Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann bercakap kepada media di ibu pejabat MFA pada 4 Sep 2026. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
SINGAPURA: 52 rakyat Singapura ditangkap dan ditahan di Guangxi, China, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan skim piramid dan kesalahan berkaitan, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan polis Singapura pada Jumaat (4 Sep).
Ini dipercayai jumlah terbesar rakyat Singapura yang ditangkap dan ditahan di luar negara pada satu-satu masa.
IKLAN
MFA menyatakan pihaknya berhubung dengan pihak berkuasa China menerusi Kedutaan Singapura di Beijing dan Konsulat Jeneral Singapura di Guangzhou.
MFA dimaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan.
Menurut tiga sumber Mediacorp, mereka yang ditangkap sudah ditahan sekurang-kurangnya sejak pertengahan Julai.
Di bawah undang-undang China, suspek bagi kesalahan tertentu boleh ditahan sehingga 37 hari sebelum pihak berkuasa memutuskan sama ada mereka akan ditangkap secara rasmi.
MFA menyatakan pegawainya sudah melawat kesemua 52 rakyat Singapura itu untuk memeriksa keadaan mereka dan memberikan bantuan konsular.
IKLAN
Kementerian itu juga berhubungan dengan para anggota keluarga terdekat mereka.
Bercakap kepada wartawan di ibu pejabat MFA pada pagi Jumaat, Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri Sim Ann berkata pegawai kementerian sudah melakukan tiga lawatan terhadap mereka yang ditahan setakat ini.
Ini termasuk menyampaikan permintaan daripada mereka yang ditahan dan pesanan daripada keluarga mereka, selain membantu menguruskan perkara pentadbiran.
Cik Sim menambah beliau sudah bertemu dengan para anggota keluarga kebanyakan mereka yang ditahan.
“Kami melakukan sedaya upaya untuk membantu mereka melalui tempoh yang sememangnya sukar ini,” katanya.
IKLAN
Cik Sim menegaskan walaupun pemerintah Singapura memberikan bantuan konsular kepada rakyatnya yang terjejas, ia tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang dan siasatan negara lain.
“Seperti mana kita mengharapkan pemerintah asing menghormati undang-undang dan proses undang-undang kita, pemerintah Singapura juga tidak campur tangan dalam proses kehakiman dan siasatan negara lain,” katanya.
“Pemerintah Singapura akan terus memberikan perhatian terhadap kes ini dan menegaskan bahawa rakyat kita harus diberikan proses undang-undang yang sewajarnya.”
Cik Sim turut mengingatkan rakyat Singapura supaya berhati-hati apabila mempertimbangkan skim perniagaan atau pelaburan, sama ada di luar negara mahupun di Singapura.
Ini terutama bagi skim yang melibatkan usaha merekrut peserta, meminta bayaran wang yang besar terlebih dahulu atau menjanjikan pulangan yang luar biasa tinggi.
IKLAN
“Rakyat Singapura yang melancong atau menetap di luar negara juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang negara yang mereka kunjungi atau diami,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Luar China menyatakan pada Selasa: “China mengendalikan kes yang melibatkan warga asing mengikut undang-undang dan melindungi sepenuhnya hak serta kepentingan sah mereka yang terlibat.”
52 rakyat SG diberkas, ditahan di China kerana disyaki terlibat dalam skim piramid
SINGAPURA: 52 rakyat Singapura ditangkap dan ditahan di Guangxi, China, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan skim piramid dan kesalahan berkaitan, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan polis Singapura pada Jumaat (4 Sep). Ini dipercayai jumlah terbesar rakyat Singapura yang ditangkap dan...