afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,224
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,224
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
5 pertubuhan hak asasi gesa kerajaan tangguh hantar pulang Rohingya
Lima pertubuhan hak asasi antarabangsa berkata rangka kerja undang-undang yang mendiskriminasi Rohingya masih kekal berkuat kuasa di Myanmar. (Gambar Bernama)
Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama oleh Nationality For All, Institute on Statelessness and Inclusion, Global Movement Against Statelessness, Asia Pacific Refugee Rights Network, serta Statelessness and Dignified Citizenship Coalition Asia Pacific.
Kumpulan itu berkata Akta Kewarganegaraan Myanmar 1982 secara sistematik mengecualikan etnik Rohingya daripada kewarganegaraan, sekali gus menjadikan keseluruhan komuniti itu tidak bernegara dan membuka ruang kepada penganiayaan terhadap mereka.
Mereka turut berkata junta tentera Myanmar masih meneruskan keganasan meluas terhadap orang awam, manakala rangka kerja undang-undang yang mendiskriminasi Rohingya dengan menafikan hak kewarganegaraan mereka masih kekal berkuat kuasa.
“Sebarang usaha untuk mengusir atau menghantar pulang etnik Rohingya ketika ini akan mendedahkan mereka kepada risiko genosid, penganiayaan, penahanan, penyeksaan dan pelbagai lagi pencabulan hak asasi manusia yang serius, sekali gus melanggar prinsip ‘non-refoulement’ di bawah undang-undang antarabangsa,” kata kumpulan itu.
Selain itu, kumpulan berkenaan menggesa Putrajaya supaya memulihkan akses tanpa gangguan kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi tujuan pendaftaran pelarian dan perlindungan antarabangsa.
Mereka juga menggesa kerajaan menghentikan pengusiran paksa keluarga Rohingya serta menyiasat corak pengusiran yang didakwa bersifat diskriminasi oleh pemilik rumah dan pihak berkuasa tempatan.
Gesaan itu dipercayai merujuk kepada pengusiran beberapa keluarga Rohingya dari sebuah kampung di Penaga, Pulau Pinang, awal minggu ini.
“Kami menyeru negara-negara anggota Asean memastikan penyertaan yang bermakna wakil-wakil Rohingya dalam semua perbincangan serantau mengenai masa depan mereka.
“Kami juga menggesa Asean menolak sebarang tindakan di peringkat serantau yang mengiktiraf junta tentera Myanmar atau memudahkan kepulangan Rohingya sebelum wujud syarat bagi kepulangan secara sukarela, selamat, bermaruah dan berasaskan hak, termasuk pemulihan kewarganegaraan Rohingya,” katanya.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima pulang kumpulan pertama seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua negara.
Anwar menyifatkan persetujuan itu sebagai langkah awal ke arah menangani isu pelarian yang berlarutan sekian lama, di samping mengekalkan ketenteraman awam.
