Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,780
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,780
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
2,650 Sertai Larian Sawit Hari Merdeka 2026 Di Sri Medan
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tengah) bersama Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Badrul Hisham Mohd (dua, kanan) bergambar dengan para peserta pada Majlis Perasmian Larian Sawit Merdeka 2026 di Kampung Parit Warijo hari ini.
Sebanyak 2,650 peserta menyertai Larian Sawit Hari Merdeka 2026 di pekan Sri Medan di sini yang menjadi platform mendekatkan sektor agrokomoditi dengan masyarakat menerusi pendekatan riadah, pendidikan dan patriotisme.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata larian itu lebih daripada aktiviti riadah kerana membawa mesej lebih besar berhubung sumbangan industri kelapa sawit kepada komuniti.
Beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mahu mendekatkan industri sawit dengan rakyat dan menunjukkan di sebalik industri itu terdapat pekebun kecil, pekerja, keluarga serta komuniti yang bergantung kepada rantaian nilai sawit.
“Penyertaan yang begitu memberangsangkan menunjukkan gabungan sukan, komuniti, pendidikan dan patriotisme mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan sektor agrokomoditi dengan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Kita mahu anak muda melihat sawit sebagai industri moden yang berkembang menerusi teknologi, inovasi dan amalan kemampanan. Pada masa sama, mereka perlu memahami industri sawit memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata selain mengenakan baju disediakan penganjur, sebahagian peserta turut tampil dengan pakaian berkonsepkan kemerdekaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme.
Beliau berkata program itu turut memberikan peluang kepada peserta, khususnya keluarga dan generasi muda mengenali dengan lebih dekat usaha berkaitan inovasi sawit, pensijilan mampan, pemuliharaan alam sekitar serta kepelbagaian produk berasaskan komoditi negara.
“Antara aktiviti interaktif yang mendapat perhatian ialah Lidi Sawit Challenge, pertandingan meneka berat tandan sawit, gubahan kreatif berasaskan komoditi, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna dan sukan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Badrul Hisham Mohd berkata pihaknya merancang menjadikan larian itu sebagai program tahunan, selain antara acara berterusan KPK bagi merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat menerusi pendekatan lebih santai, inklusif dan mesra rakyat.