Gerhana matahari penuh memukau di Eropah
Utusan Sarawafk
August 12, 2026
BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi sebahagian benua itu dan menyelubungi kawasan luas di Sepanyol dalam kegelapan luar biasa pada waktu siang.
Bayang-bayang yang terhasil apabila Bulan menutupi Matahari akan bermula di kawasan terpencil di utara Artik Rusia sekitar 1700 GMT sebelum bergerak dalam lengkungan merentasi Greenland dan Iceland.
Di Sepanyol, lokasi terbaik untuk menyaksikan gerhana penuh itu, bayang-bayang berkenaan akan merentasi negara tersebut secara menyerong dari pantai Atlantik di utara hingga ke Laut Mediterranean sebelum menghilang sekitar 1830 GMT.
Lebih ramai pemerhati pula akan dapat menyaksikan gerhana separa yang boleh dilihat di kebanyakan kawasan Eropah, Kanada, utara Amerika Syarikat dan barat laut Afrika.
Fenomena itu merupakan gerhana matahari penuh pertama di tanah besar Eropah sejak 2006.
Sepanjang sejarah manusia, gerhana telah mencetuskan rasa kagum, takut dan penghormatan kerana fenomena itu seolah-olah menghentikan seketika perjalanan alam semula jadi.
Bayang-bayang yang terbentuk hasil jajaran Matahari dan Bulan menghasilkan suasana senja yang luar biasa apabila suhu menurun, bayang-bayang kelihatan pada sudut yang ganjil dan sesetengah haiwan mula tidur.
Bagaimanapun, fenomena itu hanya berlaku dalam tempoh singkat. Bagi pemerhati di Sepanyol, gerhana penuh akan berlangsung kurang daripada dua minit sebelum matahari terbenam.
Gerhana itu akan berlangsung sedikit lebih lama di beberapa kawasan di Rusia dan Greenland, namun masih kurang daripada dua minit setengah.
Gerhana separa, yang berlaku ketika Bulan mula dan selesai melintasi laluan Matahari, akan berlangsung kira-kira satu jam 45 minit.
Fenomena itu juga memberi peluang yang jarang kepada saintis untuk mengkaji atmosfera Matahari dan lapisan paling luarnya dalam usaha membongkar rahsia mengenai angin suria serta medan magnet bintang tersebut.
Peminat dan pemburu gerhana akan berpusu-pusu mendapatkan lokasi terbaik yang menawarkan pandangan tanpa halangan ke arah Matahari yang sedang terbenam, sambil berharap awan, debu atau asap tidak menghalang pemandangan.
Hujan dan awan diramalkan menjejaskan peluang menyaksikan fenomena itu di wilayah Westfjords di barat laut Iceland, manakala Reykjavik, ibu negara Iceland, bakal mengalami gerhana matahari penuh pertama sejak 1433.
Lebih ke selatan, agensi meteorologi Sepanyol yang berpangkalan di Madrid, AEMET, meramalkan cuaca cerah di kebanyakan kawasan Sepanyol, kecuali beberapa kawasan di bahagian utara dan timur negara itu.
Demam gerhana kini melanda negara berkenaan dengan cermin mata khas yang diperakui selamat untuk melihat Matahari sukar diperoleh di sesetengah tempat.
Sepanyol juga mengharapkan pelancongan berkaitan fenomena gerhana itu dapat merancakkan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar di utara yang mengalami kemerosotan penduduk sejak beberapa dekad lalu.
Kampung-kampung sunyi yang lazimnya tidak pernah menjadi tumpuan dalam jadual pelancongan kini tiba-tiba dibanjiri pemburu gerhana dari seluruh dunia.
Di Benavente, sebuah bandar kecil di barat laut Sepanyol yang dijangka menawarkan pemandangan terbaik gerhana penuh, semua pilihan penginapan telah habis ditempah.
“Kami menerima 50 panggilan sehari untuk bertanyakan tempat penginapan, lokasi terbaik untuk menyaksikannya dan tempat meletakkan kenderaan,” kata kakitangan pejabat pelancongan Benavente, Laura del Teso, kepada AFP.
Menurutnya, Benavente “tidak pernah” menerima begitu ramai pelancong asing, termasuk dari Belgium, Britain, Australia, New Zealand, Belanda dan Jerman.
Bahaya Menanti