BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

‘Kerusi India’ di P Pinang selamat buat DAP di sebalik perubahan trend undi

afwan83

Active+ Member
Messages
3,221
Joined
Aug 4, 2011
Messages
3,221
Reaction score
12
Points
25

‘Kerusi India’ di P Pinang selamat buat DAP di sebalik perubahan trend undi​

c235db89-kaum-india-indian-fmt-resize-270725-1.jpg

Penganalisis M Periasamy menjangkakan DAP boleh mempertahankan kerusi Bagan Dalam dan Perai di Pulau Pinang dengan peratusan tinggi pengundi India, jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

PRN Johor dan Negeri Sembilan menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendapat keuntungan di kawasan yang secara tradisinya dianggap kubu kuat DAP. MIC memenangi empat kerusi di Johor, manakala DAP kehilangan Repah dan Chennah di Negeri Sembilan, yang disandang Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook selama tiga penggal.

Walaupun kekalahan itu mendorong pemerhati politik memberi amaran PH semakin kehilangan sokongan pengundi bukan Melayunya, termasuk kaum India yang dianggap penyokong tegar di Negeri Sembilan, penganalisis politik bebas, M Periasamy bagaimanapun berkata, Bagan Dalam dan Perai kekal kerusi selamat buat DAP di Pulau Pinang.

Ini kerana, katanya, kekalahan di Johor dan Negeri Sembilan sebahagiannya disebabkan penyatuan undi Melayu di bawah BN dan Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, rungutan masyarakat India bukan ditujukan kepada DAP, sebaliknya mereka “kecewa” dengan cara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menangani isu seperti masalah pentadbiran tanah bersejarah membabitkan kuil, kuota program matrikulasi prauniversiti dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

“Apa saja peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang, DAP mampu mempertahankan Bagan Dalam dan Perai,” katanya kepada FMT.

Perai dan Bagan Dalam masing-masing mempunyai 35.7% serta 26.5% pengundi India. Dua kerusi itu secara tradisinya dianggap “kerusi India” bagi mana-mana parti pemerintah di Pulau Pinang.

MIC pernah menyandang dua kerusi itu ketika BN mentadbir Pulau Pinang sehingga 2008, sebelum dirampas calon India daripada DAP.

Adun Perai ialah S Sundarajoo yang juga exco negeri, manakala Bagan Dalam diwakili Kumaran Krishan @ Calvin.

Sokongan masih ada, tetapi perlu lebih banyak usaha

Kumaran berkata, beliau tidak akan menggambarkan kerusinya atau Perai “terdedah” berdasarkan keputusan pilihan raya baru-baru ini kerana pemerhatiannya di lapangan mendapati masyarakat India masih menyokong PH.

Tetapi, beliau mengakui berlaku penurunan sokongan dalam kalangan masyarakat India di Johor dan Negeri Sembilan.

“Ada kebimbangan dan kekecewaan sebenar dalam kalangan segmen tertentu masyarakat itu, khasnya isu membabitkan pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan pemerkasaan komuniti.

“Pembaharuan lebih bermakna perlu dipercepatkan, dengan hasil yang dapat dirasai secara langsung di peringkat akar umbi.”

Menurutnya, Anwar perlu terus menunaikan komitmennya untuk meningkatkan tahap pendidikan dan memperbaiki kedudukan sosioekonomi masyarakat India.

Katanya, Mitra perlu menjadi lebih proaktif, mudah diakses serta didekati masyarakat, selain memperkukuh penglibatan di peringkat akar umbi, menyampaikan programnya dengan lebih berkesan dan memastikan bantuan sampai kepada individu serta organisasi layak dengan cekap.

“DAP dan PH perlu terus mendekati masyarakat, mendengar keluhan mereka dan paling penting menunjukkan hasil. Sokongan tidak boleh dianggap sesuatu yang terjamin. Ia mesti diperoleh melalui khidmat, reformasi dan pelaksanaan.”

Naib Ketua Pemuda DAP, Harris Liinesh Selluandan, berkata walaupun mungkin terdapat rasa tidak puas hati terhadap perkara tertentu, ia tidak semestinya bermakna masyarakat itu telah hilang kepercayaan terhadap DAP.

“Tetapi, kita tidak boleh menganggap masyarakat India telah menyokong DAP dahulu, sokongan itu terjamin untuk masa depan. Kita perlu mendekati mereka, khasnya generasi muda dengan lebih konsisten.

“Kita perlu mendengar suara mereka, memahami aspirasi dan memberi peluang bermakna untuk mereka menyertai politik serta proses membuat keputusan.”
 
Back
Top
Log in Register