crood
Banned
- Messages
- 792
- Joined
- Mar 23, 2016
- Messages
- 792
- Reaction score
- 0
- Points
- 10
KUALA LUMPUR 22 April - Penyanyi, Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna, 29, terus mengembangkan sayap di persada antarabangsa apabila lagu terbaharu dendangannya, Crush berada dalam senarai terhebat carta lagu-lagu paling popular di Amerika Syarikat (AS).
Lagu Crush dendangan Yuna bersama penyanyi top antarabangsa, Usher berjaya menduduki tangga ke-18 dalam carta Adult R & B Songs di AS minggu ini.
Itu adalah pencapaian yang dilihat begitu membanggakan, apatah lagi Yuna, satu-satunya penyanyi Malaysia yang mampu berada sebaris dengan penyanyi tersohor yang lain menerusi carta tersebut.
Melihat kepada kedudukan Crush, pada minggu lalu, lagu ciptaan Yuna itu menduduki tangga ke-22 dan sehingga kini lagu tersebut sudah tiga minggu berada di dalam carta berkenaan.
Yuna menerusi Instagramnya minggu lalu, turut berkongsi kegembiraan atas kejayaan lagu tersebut dan ramai peminat mengucapkan tahniah kepadanya.
Penyanyi itu amat berterima kasih kepada Usher, juri program The Voice itu kerana menaruh kepercayaan dan sudi berduet dengannya.
“Sewaktu menghasilkan Crush, saya rasa ada sesuatu yang tidak lengkap. Saya asyik terfikirkan Usher lalu menghubunginya.
Dia minta saya hantar lagu ini kepadanya. Tiga bulan kemudian, dia hantar semula lagu ini lengkap berserta nyanyiannya kepada saya.
“Paling menyentuh hati, dia nyanyikan lirik yang saya tulis tanpa membuat apa-apa perubahan. Itu sungguh luar biasa dan saya berasa sangat dihargai,” katanya dalam satu temu bual dengan akhbar tempatan sebelum ini.
Penyanyi lain yang tersenarai menduduki carta tersebut ialah Lalah Hathaway di tangga pertama menerusi lagu Angel, Adele untuk lagu Hello pada tangga ke-9 dan Corinne Bailey Rae menerusi lagu Green Aphrodisiac yang menduduki tangga ke-19.
Selain Yuna, penyanyi kelahiran Sarawak, Zee Avi pada 1 September 2011 pernah mencatat sejarah apabila albumnya, Ghostbird berjaya menduduki tangga ke-129 Billboard 200.
Yuna ialah antara penyanyi dari seluruh dunia yang terpilih menjayakan kempen The Olympic Games Rio 2016 menerusi lagu The Fire yang diterbitkan oleh Questlove. Untuk lagu itu, Yuna bergandingan dengan Lenny Kravitz, Diogo Nogueira, Nneka dan Corrine Bailey Rae.
Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Kedah itu juga sibuk membuat persiapan untuk American Tour Yuna dan sepanjang tempoh persembahan bergerak itu Yuna akan diiringi oleh Bandsintown di 15 lokasi.
Antara lokasi di AS yang akan disinggah oleh Yuna ialah di U Street Music Hall, Washington (29 April), PA Coda, Philadelphia (30 April), Ny Highline Ballroom, New York (1 Mei) dan terakhir di Ca El Rey, Los Angeles pada 19 Mei ini.
source
