PELANCARAN sistem operasi Microsoft Corp (Microsoft) terkininya menerusi Windows Vista (Vista) pasti dinanti-nantikan, apabila orang ramai ingin melihat sendiri keupayaan platform baru itu menandingi Windows XP.
Dari segi penampilannya, Vista jauh lebih bertenaga jika dibandingkan platform sistem operasi sebelumnya; apabila ia mengetengahkan paparan lebih menarik dan mesra pengguna.
Berdasarkan ciri terbaru yang diketengahkan menerusi Vista, ia mempunyai paparan lebih jelas dan lutsinar bagi memudahkan pengguna untuk melihat fail lain ditempatkan di belakang permukaan antara muka yang sedang dilayari.
Ini diibaratkan seperti mempunyai slaid mikroskop kaca dengan mempunyai sedikit persamaan seperti yang diketengahkan Apple dan diakui lebih cekap berbanding platform sistem operasi Windows XP.
Selain memiliki rekaan sistem operasi yang menarik dan lebih bertenaga, platform terbaru itu didapati mempunyai fungsi carian lebih cekap bagi melakukan aktiviti carian yang mudah.
Fungsi carian yang ditempatkan pada platform Vista itu tidak terhad kepada menu permulaan (Start) turut menyokong aktiviti carian lain seperti Windows Explorer.
Penggemar permainan komputer akan mendapati carian permainan yang disimpan menjadi lebih mudah apabila Vista menyediakan kemudahan memperkenalkan fail khas.
Sistem pengkadaran permainan yang dilengkapi pada platform itu memudahkan ibu bapa untuk menentukan permainan yang sesuai dimainkan mengikut perbezaan usia pengguna.
Lebih menarik lagi apabila platform terkini Microsoft itu mempunyai ciri bantu menguruskan fail muzik dan gambar yang lengkap menerusi binaan dalamannya.
Ia bukan saja memperlihatkan platform baru itu menawarkan keberkesanan penggunaan komputer malah paparan yang dibuka akan disusun lebih kemas serta teratur.
Bagaimanapun, antara muka menarik yang ditampilkan menerusi Vista akan menjadi kurang efektif sekiranya pengguna tidak mendalami penggunaan platform terkini itu dengan pendekatan yang berbeza, tidak seperti yang diketengahkan menerusi Windows XP sebelum ini.
Ia mudah dan lebih mesra pengguna jika dibandingkan platform sebelum itu yang diperkukuhkan dengan pengenalan konsep tiga dimensi (3D).
Di sebalik menawarkan tahap kecekapan penggunaan platform Vista yang bermutu tinggi, ia mempunyai sedikit rintangan apabila memerlukan penggunaan perkakasan lebih bertenaga bagi menampung platform yang memerlukan tahap penyampaian grafik dan memori bertenaga.
Reviu platform Vista itu dilakukan pada sistem operasi komputer notebook yang mempunyai prosesor dwi teras Intel T2050 , 1.6 gigahertz dan dua megabait (Mb).
Selain itu, komputer notebook terbabit mempunyai tahap keupayaan memori satu gigabait (Gb), cakera keras 80Gb dan Windows Vista RC.
Penilaian Berita Komputer
Prestasi: ****
Ciri: ****
Mesra pengguna: ****
Rekaan: ****
Keseluruhan: ****