BTC USD 100,478 Gold USD 2,714.36
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Waspada fahaman Allah ada lima jari dan takfiri

akudotcom

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
56,556
Top Poster #3
Joined
Jun 17, 2007
Messages
56,556
Reaction score
6,646
Points
881
Awards
1
Waspada fahaman Allah ada lima jari dan takfiri

Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari
A view of the sea
FOTO HIASAN

Terdapat sebahagian penceramah yang menerangkan perkara akidah tidak berpandukan ajaran Islam menurut perspektif Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ). Bagi menjelaskan perkara ini, program Wacana Ilmiah 2024: Pemantapan Akidah Ahli Sunah Waljamaah telah diadakan pada 28 Julai lalu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur, Persatuan Guru Agama Pondok Terengganu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) dan Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Seperti yang dipersetujui oleh pembentang termasuk Mufti Aceh, Sahibussamahah Tengku Faisal Ali, antara resolusinya:

1) Manhaj salaf adalah aslam (lebih selamat) manakala manhaj khalaf adalah ahkam (lebih bijaksana). Kedua-dua manhaj ini telah pun diambil kira dan menjadi silibus pengajian dalam ASWJ terutama aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Dakwaan yang menyatakan aliran ini hanya berkaitan dengan khalaf sahaja maka pendakwa berkenaan telah salah faham tentang hakikat sebenar berkaitan silibus aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah ini. Bahkan ditegaskan bahawa al-Asyairah dan al-Maturidiyah mewakili akidah salaf soleh sebenar termasuk berperanan menjaga akidah sebenar Nabi SAW.

2) ASWJ aliran al-Asyairah, al-Maturidiyah dan Fudola' al-Hanabilah adalah aliran yang menjaga khazanah warisan akidah daripada Nabi SAW, sahabat, tabiin dan tabi' tabiin (salaf soleh) sehinggalah sekarang. Dakwaan yang menyatakan hanya aliran al-Hanabilah sahaja yang mewarisi akidah salaf soleh maka tuduhan ini mengandungi implikasi yang sangat bahaya. Ini kerana ia mendorong pihak lain menuduh akidah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai akidah sesat, tiada kaitan dengan Nabi SAW dan tiada kaitan dengan salaf soleh atau berakidah ahli falsafah Yunani. Ini adalah fitnah dan tuduhan berat kepada akidah majoriti ulama seluruh dunia.

3) Majoriti ulama hadis berpegang akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah manakala sebahagian kecil ulama hadis berpegang dengan aliran Fudola' al-Hanabilah (al-Athariyah atau Ahl al-Hadith al-Mufawwidoh) yang usulnya tidak bercanggah dengan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah. Namun, terdapat kelompok yang lebih kecil cuba menyelit menerusi aliran al-Hanabilah apabila mereka cenderung kepada tajsim dan takfir. Maka, ketika ini prinsipnya bercanggah dengan al-Asyairah, al-Maturidiyah dan Fudola' al-Hanabilah sebenar, meskipun mereka belum terkeluar daripada Islam.

4) Keperluan memberikan penekanan terhadap ancaman ekstremisme agama sama ada daripada aspek al-ifrat (liberal) mahupun al-tafrit (literal). Kedua-dua ekstremisme ini mesti ditolak oleh seluruh umat Islam selari dengan ASWJ yang bersifat wasatiyyah (seimbang).

5) Keperluan membangunkan pelan strategik pengukuhan akidah ASWJ di Malaysia secara komprehensif. Perkara ini perlu diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di peringkat Persekutuan sebagai badan penyelaras dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) di peringkat negeri.

6) Implikasi penyebaran ajaran menyeleweng dan bercanggah dengan ASWJ di Malaysia bukan sahaja berkait daripada aspek akidah dan syariat malah ia turut memberi kesan daripada aspek keselamatan negara meliputi ketenteraman, perpaduan ummah, jenayah, keganasan dan berpotensi meruntuhkan negara.

Resolusi ini sangat signifikan dengan situasi masyarakat kini yang kelihatan ada unsur berfahaman tajsim dan takfiri di samping fahaman sesat lain seperti Al-Arqam.

Tajsim ringkasnya bermaksud fahaman yang mendakwa Allah SWT memiliki jisim meskipun beranggapan jisim Allah SWT itu tidak sama seperti jisim makhluk-Nya. Takfiri pula ringkasnya bermaksud golongan berfahaman mudah mengkafirkan umat Islam dan ulama Islam berkaitan perkara khilafiah.

Saya pernah membaca hantaran di Facebook 'Manhaj Salaf' mendakwa Allah memiliki wajah tanpa kepala. Dakwaan ini dibuat untuk membezakan Allah SWT dan makhluk-Nya. Ertinya, menurut mereka, Allah memiliki fizikal atau jisim tersendiri yang bentuk-Nya tidak sama dengan bentuk jisim makhluk.

Selain itu, penulis pernah membaca kitab yang berjudul Masail al-Imam Ibn Baz yang disusun oleh Sheikh Abu Muhammad Abdullah ibn Mani' dalam halaman 37. Apabila ditanya tentang bilangan jari Allah SWT adakah berjumlah lima jari? Kemudian Ibn Baz jawab dengan mengakui jumlah tersebut. Bahkan ada dalam kalangan mereka berbeza pandangan sama ada dua tangan Allah SWT kedua-duanya berada di sebelah kanan atau satu di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan. Pandangan ini tidak boleh dijadikan silibus pengajian akidah sama sekali meskipun terdapat pihak yang berkempen tokoh ini adalah bermanhaj salaf. Semua tidak maksum melainkan Nabi Muhammad SAW.

Ini jelas berbeza dengan fahaman ASWJ dalam perbahasan sifat mukhalafatuhu li al-hawadith. Antara keistimewaan silibus pengajian Sifat 20 adalah perkara ini tidak dibincangkan detail kerana ia perkara mutashabihat sedangkan fokus Sifat 20 adalah sifat muhkamat. Inilah masalah golongan yang mendakwa berfahaman salaf pada zaman moden kerana membincangkan perkara mutashabihat bagaikan ia muhkamat. Berkaitan takfir, beberapa penulisan dikenal pasti seperti kitab Juhud Ulama al-Hanafiyyah fi Ibtal Aqaid al-Quburiyyah yang menuduh Imam al-Ghazali sebagai seorang al-jahmiyyah (fahaman yang menafikan sifat Allah SWT) dan al-quburiyyah (fahaman memuja kubur). Imam al-Sayuti dituduh mempunyai pandangan khurafat al-quburiyyah. Imam Ibn al-Hajj al-Maliki dituduh berfahaman memuja berhala yang jelas (al-wathaniyyah al-sarihah).

Imam Ibn Hajar al-Haitami dituduh sebagai ahli khurafat (al-khurafi), pemuja berhala (al-wathani) dan memiliki kitab memuja berhala (kitab wathani) iaitu al-Jauhar al-Munazzam fi Ziyarah al-Qabr al-Mu'azzam. Selain itu, Imam al-Sayyid al-Sharif al-Jurjani dituduh sebagai pemuja kubur (quburi), percaya Allah SWT itu menyatu dengan makhluk (ittihadi) dan khurafi. Imam al-Zarqani dituduh mempunyai pemikiran sufi pemuja kubur (sahib afkar sufiyyah quburiyyah).

Imam al-Subki dituduh antara ulama besar mazhab al-Shafii dan mazhab al-Ashairah yang menjadi antara imam pemuja kubur serta berhala paling masyhur. Kitabnya berjudul Shifa' al-Saqam fi Ziyarah Khair al-Anam didakwa mengandungi seruan jelas kepada fahaman memuja kubur. Dituduh individu terawal mendahului golongan keberhalaan dan pemuja kubur terkemudian sehinggalah ke zaman ini (hadha al-Subki salaf kulli khalaf wathaniyy quburiyy ila yaumina). Imam al-Sha'rawi pula dituduh sebagai ahli sufi yang wathani mulhid zindiq (ahli berhala, ateis dan zindiq) serta tiada agama baginya (la dina lahu).

Terdapat ratusan ulama ASWJ daripada ilmuwan al-Ashairah, al-Maturidiyyah dan ahli sufi ditohmah sebagai ahli zindiq, ateis, wathani dan quburiyyah di dalam kitab ini. Ia merangkumi ulama muktabar dunia Islam seperti Imam al-Razi, Imam al-Taftazani, Imam al-Baidawi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam al-Hisni, Imam Ibn al-Nu'man al-Maliki, Imam al-Zabidi, Imam al-Qastalani, Imam al-Jailani, Imam al-Kauthari dan Imam al-Busiri.

Dinyatakan juga, kebanyakan golongan al-Maturidiyyah, al-Ashairah dan empat mazhab fiqh iaitu Hanafi, Maliki, Shafii dan Hanbali berfahaman quburiyyah kerana mengamalkan tabarruk, tawassul dan istighathah.

Kitab ini diiktiraf oleh penulis kitab lain yang berjudul al-Quburiyyah Nash'atuha Atharuha Mauqif al-Ulama' Minha (al-Yaman Namudhajan) atau judul lainnya, al-Quburiyyah fi al-Yaman dengan menyatakan kitab tadi termasuk antara usaha ulama untuk membanteras kesesatan. Di samping memberi pengiktirafan kepada kitab yang menyesatkan majoriti ulama itu, kitab al-Quburiyyah fi al-Yaman ini juga menyenaraikan al-Ashairah dan al-Maturidiyyah sebagai aliran yang menyimpang.

Semoga penjelasan ini membuka mata pencari kebenaran secara insaf untuk menjauhi fahaman tajsim dan takfir ini.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Disiarkan pada: October 9, 2024 @ 6:00am
 
Back
Top
Log in Register