balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Mohd Khairul dan isterinya menunjukkan kelengkapan rumah mereka yang rentung dalam kebakaran petang kelmarin.
< 1 / 1 >
MANJUNG – Seorang wanita nekad untuk menyelamatkan dokumen penting walaupun tudungnya terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Tebuk Haji Misbah, Ulu Kayan di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 36, merempuh masuk ke rumah milik adiknya, Muhd Khairul Roziqin, 35, sebelum meminta bantuan daripada orang ramai.
Ketika kejadian, rumah terbabit tidak berpenghuni dan mangsa menyedari kediaman itu terbakar apabila ternampak api menjulang tinggi di ruang tamu sebelum memusnahkan keseluruhan struktur rumah terbabit.
Siti berkata, dia juga sempat mengalihkan kenderaan serta pelbagai barangan lain seperti televisyen, peti ais dan kipas.
Katanya, adiknya dan isteri, Norazian Idris, 35, bersama tiga anak pasangan itu tiada di rumah ketika kejadian.
“Saya nekad masuk ke dalam rumah biarpun api marak kerana memikirkan beberapa barang berharga serta dokumen penting yang berada di dalamnya.
“Saya membongkok untuk masuk ke dalam rumah kerana api marak di atas bumbung dan tudung saya turut terbakar terkena bara yang jatuh namun saya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Ashaari Mat Razi berkata, tiga jentera bersama 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.44 petang.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, rumah kelas pertama musnah keseluruhan dan anggota berjaya mengawalnya satu jam kemudian. Operasi tamat kira-kira jam 7.06 petang.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya.