afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,227
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,227
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Wakil rakyat BN, PH gesa RCI baharu Tabung Haji
Ahli Parlimen Tampin Mohd Isam Mohd Isa berkata banyak perkara penting berlaku terhadap Tabung Haji pasca tahun 2020. (Gambar Bernama)
Ketika membahaskan laporan RCI TH di Dewan Rakyat, Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mencadangkan RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi 2014 hingga 2020.
“Secara keseluruhan, saya dapati masih banyak lagi perkara yang terlepas pandang daripada skop RCI ini. Antaranya sudah tentulah kerana tempoh yang terhad dari 2014 hingga 2020.
“Sedangkan, banyak perkara penting yang berlaku terhadap TH pasca tahun 2020. Tempoh RCI ini sepatutnya dipanjangkan lagi sehingga sekurang-kurangnya ke tahun 2025.
“Sehubungan itu, saya menggesa suatu RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 sehingga 2025 untuk mengenal pasti kelemahan pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh tersebut,” kata Ahli Parlimen Umno.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan perkara sama, menyatakan RCI baharu perlu dibuat bagi menyiasat pengurusan TH dan pihak bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dan pengurusan institusi itu.
Katanya, RCI sedia ada tidak lengkap kerana tidak menyatakan dengan jelas pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan susulan.
“Saya menuntut supaya satu lagi RCI diadakan dan dalam RCI itu kalau perlu mengesyorkan pihak-pihak mana yang sebenarnya bertanggungjawab dan tindakan susulan seperti menuduh mereka di mahkamah,” kata Ahli Parlimen DAP.
Sementara itu, Isam yang juga anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, isu pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2022 hingga 2026 juga wajar dibawa ke PAC untuk penelitian lebih mendalam.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan.
“Selain itu, selaku ahli PAC, saya juga mencadangkan isu berkenaan pengurusan dan tadbir urus Tabung Haji turut dibawa ke PAC supaya dapat diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci terutama daripada tahun 2022 hingga 2026,” katanya.
