combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
USM Bangunkan Prototaip Produk Diagnostik Tempatan
Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Aziah Ismail
Universiti Sains Malaysia (USM) sedang membangunkan beberapa prototaip hasil penyelidikan universiti itu bagi menghasilkan produk diagnostik tempatan yang mampu mengesan penyakit lebih awal dan tepat.
Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata produk dan prototaip berkenaan sedang melalui proses penilaian dan pembangunan sebelum berpotensi untuk dikomersialkan, termasuk menerusi penubuhan sebuah syarikat spin-off.
Beliau berkata sebelum ini beberapa teknologi yang dihasilkan penyelidik INFORMM telah dikomersialkan melalui kaedah pelesenan teknologi kepada syarikat, manakala usaha terkini lebih menjurus kepada penubuhan syarikat spin-off bagi menguruskan produk baharu yang sedang dibangunkan.
“Pada masa ini kita mempunyai beberapa produk atau prototaip dalam perancangan yang dibangunkan oleh pensyarah dan penyelidik, jadi kita bercadang memulakan dengan satu produk flagship sebelum diteruskan dengan produk lain yang berada dalam perancangan tersebut.
“Produk baharu itu kini berada pada peringkat proof of concept dan seterusnya akan melalui proses penilaian sebelum bergerak kepada pensijilan ISO 13485 dan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Molecular Diagnostics and Biomarker Discovery (MDBD) Ke-8 di sini hari ini.
Persidangan dua hari hingga esok anjuran INFORMM USM dengan kerjasama penaja tunggalnya Thermo Fisher Scientific itu menghimpunkan kira-kira 150 saintis, pengamal kesihatan, penyelidik, pembuat dasar dan wakil industri dari dalam serta luar negara.
Mengangkat tema Redefining Healthcare: Multi-Omics Driven Diagnostics and Therapeutics, MDBD 2026 memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi baharu untuk meningkatkan ketepatan diagnosis, rawatan bersasar dan penjagaan kesihatan diperibadikan.
Aziah berkata antara cabaran utama untuk membawa produk diagnostik berasaskan penyelidikan ke pasaran ialah tempoh masa diperlukan bagi memenuhi keperluan kawal selia kerana produk berkenaan dikategorikan sebagai in vitro diagnostics (IVD), iaitu satu daripada kategori peranti perubatan.
Beliau berkata produk IVD perlu melalui penyediaan dokumentasi, proses persediaan dan audit bagi mendapatkan pensijilan ISO 13485 sebelum boleh dikemukakan kepada MDA untuk proses seterusnya.