BTC USD 62,374.1 Gold USD 4,473.68
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Urus niaga bawa maut

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
SIK: Seorang ahli perniagaan berusia 33 tahun maut selepas ditembak di muka dan kepala oleh seorang lelaki tidak dikenali di Kampung Batu 8, Jalan Jeniang-Sik, dekat sini, malam kelmarin, selepas dia dihubungi suspek yang menyamar sebagai penjual getah yang mahu berjumpa dengannya di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Kia Chuan Joo, 33, yang memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai majikannya dalam perjalanan dari arah Baling ke Alor Setar.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad, berkata ketika tiba di Batu 5, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang ingin menjual getah sebelum mereka berjanji untuk berjumpa di lokasi kejadian.


Difahamkan, mangsa yang juga bapa kepada tiga anak itu membantu rakannya itu dalam perniagaan getah di Sungai Petani sejak dua minggu lalu.


Zakaria berkata, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa menghentikan keretanya sebelum sebuah kereta hitam yang dinaiki dua lelaki tidak dikenali dari arah sama berhenti di sebelah kanan kereta mangsa.


“Seorang daripada suspek kemudian mengeluarkan pistol sebelum melepaskan beberapa das tembakan yang menembusi muka dan kepala mangsa menyebabkannya mati serta-merta di tempat duduk pemandu,” katanya.


Beliau berkata, rakan mangsa berjaya melarikan diri ke sebuah rumah berhampiran tempat kejadian manakala dua suspek terbabit melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka ke arah Jeniang. Katanya, hasil siasatan awal, polis percaya suspek memang merancang untuk membunuh mangsa kerana tembakan yang dilepaskan hanya tertumpu pada bahagian muka dan kepala mangsa.


“Kita menolak kejadian itu bermotifkan rompakan kerana tiada barang yang dilarikan dan masih menyiasat motif pembunuhan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


Sementara itu, abang mangsa, Kia Ken Sew, 47, berkata adik bongsunya itu sebelum ini mengusahakan perniagaan jubin tetapi menghentikan sementara perniagaan itu atas beberapa masalah sebelum bekerja dengan lelaki berusia 44 tahun itu sejak dua minggu lalu yang mengusahakan perniagaan getah.


Ken Sew berkata, sebelum kejadian adiknya itu ada menghubungi isterinya, Lim Chai Peng, 31, di Tandop, Alor Setar memaklumkan dia akan pulang lewat kerana ada temujanji berkaitan kerjanya.


“Isterinya menghubunginya semula kira-kira jam 9 malam tetapi telefonnya tidak dijawab. Beliau kemudian menghubungi mangsa sekali lagi pada jam 12 malam dan terkejut apabila yang menjawab panggilan itu adalah anggota polis yang kemudian memaklumkan suaminya mati ditembak,” katanya ketika ditemui, di Alor Star, semalam.

Ken Sew berkata, adiknya itu tidak pernah bercerita kepadanya mengenai masalah kehidupannya atau dia mempunyai musuh.


“Sebelum ini sejak lebih 10 tahun lalu, kami bersama adik-beradik lain bersama-sama mengusahakan perniagaan jubin di Alor Star dan Kangar sebelum mangsa mahu mengusahakan perniagaan sendiri sejak beberapa bulan lalu.


“Saya tak percaya dia mempunyai musuh kerana setahu saya dia tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. Kalau ada musuh perniagaan pun, dia baru saja memulakan perniagaannya,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam kelmarin sebelum dituntut keluarganya pagi semalam.
 
Back
Top
Log in Register