Harga beras putih import naik 1 Mac
KUALA LUMPUR: Harga beras putih yang diimport daripada tiga negara bakal dinaikkan RM50 bagi setiap tan bermula 1 Mac ini.
Kenaikan membabitkan beras putih lima peratus hancur dari Thailand, Vietnam dan Pakistan yang akan dijual pada harga RM2,200 setiap tan, berbanding RM2,150 setiap tan ketika ini.
Mengesahkan perkara itu, seorang wakil pemborong beras import yang enggan namanya didedahkan berkata, arahan itu dimaklumkan oleh Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) melalui surat yang diedarkan sejak 20 Februari lalu.
Beliau yang turut menerima surat berkenaan berkata, semua pemborong beras import sudah dimaklumkan dengan arahan itu.
"Harga sebelum ini adalah RM2,150 bagi setiap tan dan mengikut surat terbaru daripada BERNAS, ia akan dinaikkan RM50 bermula 1 Mac ini.
"Ini bermakna harga jualan kepada pengguna juga terpaksa dinaikkan. Sebagai contoh, beras import berharga RM30 akan dinaikkan sekurang-kurangnya RM5," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Surat berkenaan ditandatangani Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran BERNAS, Richard SC Tan.
Cubaan BH menghubungi pihak BERNAS bagi mendapatkan pengesahan gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, pemborong tidak berdepan masalah dengan kenaikan itu kerana harga jualan akan dinaikkan seiring harga belian.
http://www.bharian.com.my/node/252182