Kos batal projek jambatan agenda utama mesyuarat PAC
JOHOR BAHRU 11 Jun - Isu berkaitan pembatalan projek jambatan bagi menggantikan Tambak Johor dan kosnya yang kini mencecah RM730 juta akan menjadi agenda utama mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) esok.
Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini berkata, mesyuarat itu akan memberi tumpuan terhadap bayaran ganti rugi sebanyak RM100 juta yang perlu dibayar kepada kontraktor jambatan berkenaan, Gerbang Perdana, RM250 juta yang perlu dibelanja bagi membina jalan baru yang menghubungkan Tambak Johor dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru di Bukit Chagar dan premium tanah sebanyak RM380 juta yang dituntut oleh kerajaan negeri Johor berikutan pembatalan projek tersebut.
"Kami ingin tahu mengapa projek itu masih memerlukan kerajaan mengeluarkan wang yang begitu banyak walaupun telah dibatalkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shahrir, yang juga anggota Parlimen Johor Bahru, berkata beberapa pegawai tinggi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya akan diminta memberi penjelasan tentang perkara itu pada mesyuarat berkenaan di Parlimen.
Jumaat lepas, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bayaran premium tanah sebanyak RM380 juta yang dituntutnya adalah berpatutan sebagai ganti rugi bagi tanah yang diserahkan oleh Johor kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek bersepadu itu walaupun jambatan berkenaan kini dibatalkan pembinaannya.
Shahrir berkata, PAC juga akan membincangkan pelbagai isu lain berkaitan projek yang dibatalkan itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/con...&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm