afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,223
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,223
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Tuduhan ubah wang haram jejas reputasi, bebankan keluarga, kata Shahrir
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram pada 5 Jan 2023 selepas pihak pendakwaan menarik balik kes terhadapnya. (Gambar Bernama)
Shahrir berkata, nama serta gambarnya disiarkan seiring istilah ‘pengubahan wang haram’ ketika beliau didakwa, sekali gus menimbulkan persepsi umum bahawa beliau tiada integriti.
“Sebagai ahli politik, saya sudah lali dengan kritikan. Namun, dikritik kerana pandangan politik sama sekali berbeza dengan dituduh terbabit dalam pengubahan wang haram,” katanya dalam pernyataan saksinya.
“Isteri dan arwah anak perempuan saya terpaksa membaca serta mendengar tohmahan terhadap saya. Walaupun mereka terus beri sokongan, saya tahu mereka turut menanggung tekanan dan rasa malu.”
Shahrir, 75, memberi keterangan dalam saman RM10 juta yang difailkannya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, serta kerajaan atas dakwaan pendakwaan berniat jahat dan salah laku dalam jawatan awam.
Beliau menjelaskan, beliau mahu perbicaraan kes jenayahnya berjalan tanpa sebarang penangguhan yang tidak perlu kerana anak tunggalnya ketika itu sedang bertarung dengan kanser tahap empat dan menjalani rawatan kemoterapi.
Satu tarikh perbicaraan terpaksa dipinda kerana bertembung dengan jadual rawatan anaknya, tambahnya.
“Saya harap perbicaraan itu dapat diselesaikan ketika anak saya masih hidup. Saya mahu dia tahu kesudahan tuduhan jenayah terhadap saya,” katanya.
Shahrir dilepas dan dibebaskan pada 5 Jan 2023 selepas pihak pendakwaan menarik balik tuduhan ke atasnya. Anaknya yang ketika itu menerima rawatan paliatif meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Bekas pemimpin Umno itu turut memberitahu mahkamah, wang sebanyak RM200,000 dalam akaun bank miliknya telah dibekukan selama lebih tiga tahun, bermula 18 Mac 2020 sehinggalah perintah penyitaan dibatalkan dan wang tersebut dikembalikan kepadanya pada 23 Mei 2023.
Katanya, sebuah kereta yang disita daripadanya pula hanya dipulangkan pada 12 Mei 2023, menghalang beliau dan isterinya daripada menggunakan kenderaan tersebut selama lebih tiga tahun.
‘Bukan soal balas dendam’
Shahrir berkata, beliau memfailkan saman itu bukan kerana hendak membalas dendam, sebaliknya kerana kuasa menyiasat, menyita harta, menangkap dan mendakwa merupakan ‘kuasa amat besar’ yang hanya wajar digunakan selepas sesuatu kes disiasat secara terperinci.
Beliau berkata, Thomas dinamakan sebagai defendan kerana memegang jawatan peguam negara ketika itu dan telah menandatangani kebenaran untuk mendakwanya.
Latheefa pula dinamakan kerana beliau mengetuai siasatan SPRM pada masa itu.
Shahrir berkata, Thomas turut menyatakan dalam pembelaannya bahawa beliau telah menerima taklimat, membaca kertas siasatan dan memutuskan untuk mendakwanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak mendakwa kesemua defendan memainkan peranan yang sama, dan menggesa mahkamah menilai tindakan serta pengetahuan setiap defendan secara berasingan.
Isu teras di Mahkamah Tinggi, katanya, adalah sama ada beliau didakwa selepas siasatan yang wajar dan menyeluruh dijalankan.
Saman Shahrir itu berpunca daripada sekeping cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak bagi projek pemulihan perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.
Beliau sebelum ini dituduh gagal mengisytiharkan wang RM1 juta tersebut kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang membawa kepada tuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menggugurkan tuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan menarik balik kes.
Pembelaan Thomas
Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020, menafikan dakwaan dalam pernyataan tuntutan Shahrir, termasuk dakwaan salah laku dalam jawatan awam.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020, sedangkan perbicaraan kes jenayah Shahrir hanya bermula pada 26 Julai 2022.
Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Don, Liew Horng Bin dan Siti Syakimah Ibrahim, bersama Peguam Persekutuan Nuur Zul Izzati Zulkifli, mewakili Latheefa, SPRM serta kerajaan, manakala Alan Adrian Gomez dan Haikaldin Mahyidin bertindak bagi pihak Thomas.
Shahrir pula diwakili barisan peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah dan Syahrul Syazwan Salehin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Gan Techiong ditangguhkan ke 4 Sept.