combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,197
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,197
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
TNB Perkukuh Agenda ESG, Tanam 25,000 Pokok Bakau
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad (kanan) menandatangani papan tanda pokok bakau pada program My Brighter Green Tenaga Nasional Berhad di Tanjung Burung.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Perak Azni Rahman A. Wahid (kiri).
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memacu aspirasi negara mencapai Net Zero 2050 menerusi program penanaman 25,000 pokok bakau di Hutan Paya Bakau Tanjung Burung, Pantai Remis, di sini.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata program di bawah inisiatif My Brighter Green Initiative (MBGI) itu bukan sahaja bertujuan memulihara ekosistem hutan paya bakau malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem pesisir, biodiversiti dan penglibatan komuniti dalam agenda kelestarian.
“Melalui penanaman pokok bakau ini, kita dapat meningkatkan kapasiti penyerapan karbon, mengurangkan hakisan pantai dan pada masa yang sama memulihkan ekosistem yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan seperti ikan dan ketam.
“Selain itu, pemuliharaan hutan bakau juga selari dengan kedudukan beberapa stesen jana kuasa TNB yang terletak di kawasan pesisir pantai, termasuk Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (Janamanjung), sekali gus membantu melindungi kawasan pantai daripada kesan hakisan,” katanya kepada Bernama pada Program MBGI 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Perak Azni Rahman A. Wahid, Pengarah Eksekutif Malaysian Nature Society I. S. Shanmugaraj dan Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong.
Program itu turut melibatkan penyertaan kira-kira 70 pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Agama Rakyat Tarbiyyatul Ajyal, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Idris, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tit Bin dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Pengkalan Baru, bersama warga kerja TNB, komuniti setempat serta pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dalam aktiviti penanaman pokok bakau.
Shamsul berkata keunikan MBGI ialah penglibatan aktif komuniti setempat, pelajar, agensi kerajaan dan kerajaan negeri bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu generasi muda memahami kepentingan menjaga alam sekitar sejak awal kerana mereka pewaris yang akan meneruskan usaha kelestarian ini pada masa hadapan.
“Dalam pada itu, sebagai peneraju utiliti tenaga negara, TNB tidak hanya mahu dikenali sebagai pembekal elektrik, sebaliknya sebuah organisasi yang turut mengutamakan aspek ESG, pembangunan modal insan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penglibatan komuniti,” katanya.