BTC USD 84,942.4 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tips Khusyu' Dalam Solat

Al-jib

Fun Poster
Messages
522
Joined
Jun 13, 2011
Messages
522
Reaction score
148
Points
23
SOLAT-KHUSYU.jpg


Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam
sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benarnya bagi suatu
sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri,
membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan
dengan sempurna. Sabda Rasulullah SAW:

“Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat,
kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta
ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)


Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk
memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah
Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘
dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)


Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di
sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri
kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang khusyu‘.

SEBELUM MENDIRIKAN SEMBAHYANG

i. Menjaga makanan dan minuman.

Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara
kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram. Sabda Rasulullah SAW:

Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka
baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya.
Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


ii. Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota
wajib serta mengingati niat.


Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa
beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Baginda
SAW dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu
ayatnya, bacaan Baginda SAW terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang
Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di
antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’
mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka
sempurnakanlah wudhu’nya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie).


iii. Membersihkan diri, termasuk bersugi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia
nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).


iv. Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.


v. Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk
makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul
kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang. Sabda Rasulullah SAW:

Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia,
dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.”
(Hadis riwayat Muslim).


vi. Memakai pakaian yang bersih dan kemas.

Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang
sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii. Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam
bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya
dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan
sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh
mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a.:

“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat:
Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah
jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi).


viii. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu
fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW pernah mendirikan
sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda SAW:

“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan
kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadis riwayat Muslim).


Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak
pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga
tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang
tidak dapat dilihat olehnya.

KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i. Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri
dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang
yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan
terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

ii. Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala
urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan
ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:

“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya
terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk
ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”


iii. Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali
dalam hidupnya.


iv. Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh
menjauhkan diri daripada syaitan.


Umpamanya seperti berikut surah an-Nas, ta’awudz, tahlil atau zikir.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan
sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran
ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”
(Hadis riwayat Muslim).


KETIKA MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i. Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari
ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat al-Qur’an (tasbih, takbir dan doa).

Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting
untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui
segala apa yang kita baca.

ii. Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud.

Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan. Rasulullah SAW bersabda:

Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..
(Hadis riwayat Muslim).


iii. Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan
ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.



iv. Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.


v. Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada
mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.


vi. Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.


Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).
Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan
suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya,
sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam
seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “SubhanAllah”. Maknanya,
gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak
dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian
bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga
kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu
berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan
sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan
duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

vii. Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta.

Sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله
dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan
ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang
seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh
sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

PENUTUP

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia
hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh
rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT yang
bermaksud:

“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang
demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni)
orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan
bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].
 
Back
Top
Log in Register