balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Peralatan dan wang tunai yang dirampas daripada suspek.
< 1 / 1 >
KUALA BERANG - Biarpun cuba melarikan diri sejauh 40 kilometer, seorang lelaki OKU bersama teman wanitanya berjaya ditangkap polis berhubung kes pecah tabung masjid di sekitar Dun Ajil, awal pagi kelmarin.
Terdahulu, sebelum tangkapan kira-kira jam 4.30 pagi di Plaza Tol Bukit Besi (LPT II) itu, suspek berusia 25 tahun yang tempang kaki kanan dan mengalami masalah penglihatan sebelah kiri turut berlari keluar daripada kenderaannya kira-kira 50 meter bagi mengelak ditahan.
Bagaimanapun, usaha suspek sehingga sanggup meninggalkan teman wanitanya yang merupakan ibu tunggal seorang anak di dalam kereta, gagal setelah dia terjatuh ke dalam longkang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, terdahulu kira-kira jam 3.40 pagi, anggota polis sedang meronda menerima maklumat daripada IPD Hulu Terengganu berkaitan kes pecah tabung masjid di Kampung Durian Kasim.
Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan rondaan polis terserempak Perodua Viva dipandu suspek di Plaza Tol Ajil menghala ke Bukit Besi.
"Pihak polis cuba tahan kereta tersebut tetapi tak berhenti, malah suspek bertindak himpit anggota bertugas.
“Polis kemudiannya terus mengejar kenderaan dipandu suspek sehingga tiba di Plaza Tok Bukit Besi," katanya kepada media di IPD Hulu Terengganu, di sini, semalam.
Cubaan kedua pecah tabung
Mohd Rosli berkata, melihat polis membuat pengadangan, suspek yang beralamat di Felda Neram Satu, Kemaman keluar daripada kereta dan melarikan diri.
"Bagaimanapun ketika cubaan itu, suspek terjatuh ke dalam longkang lalu berjaya dicekup polis.
"Manakala, teman wanitanya beralamat di Paloh Inai, Pekan, Pahang tidak keluar daripada kenderaan tersebut,” katanya.
Menurut Mohd Rosli, sebelum itu pasangan kekasih tersebut terlibat dengan kes pecah tabung masjid di Kampung Bukit Diman dan berjaya melarikan wang tunai hampir RM200 sebelum ke sasaran seterusnya di Masjid Kampung Durian Kasim.
Bagaimanapun katanya, nasib tidak menyebelahi mereka setelah perbuatan tersebut dilihat seorang individu yang kemudian bertindak menghubungi Balai Polis Ajil.
"Cubaan memecah tabung di Masjid Kampung Durian Kasim itu tidak berjaya.
“Suspek terus melarikan diri dengan menaiki lebuh raya dan terserempak pasukan polis yang sedang menjalankan rondaan," katanya.
Peralatan mencuri ditemui
Mohd Rosli berkata, hasil pemeriksaan polis menemui beberapa peralatan seperti kuku kambing, pemutar skru dan spanar mudah laras.
Katanya, polis turut menemui pelekat, duit kertas campur-campur berjumlah RM178 dalam beg galas serta duit syiling berjumlah RM20.15.
"Duit ini dipercayai daripada tabung Masjid Kampung Bukit Diman yang berjaya mereka pecahkan. Kesemua barangan ditemui termasuk kereta telah dirampas.
"Kedua-dua suspek kini ditahan reman bermula semalam (kelmarin) hingga 17 Februari ini. Maklumat diperoleh juga mendapati kereta tersebut adalah kenderaan yang disewa di Balok, Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati pasangan kekasih itu juga positif methamphetamine selain turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes kecurian serta narkotik.
Menurutnya, polis turut menyiasat berkemungkinan suspek pernah terlibat dengan beberapa kes pecah kenderaan di sekitar daerah ini termasuk di kawasan masjid.
Tiga kes dilaporkan tahun lalu
Dalam pada itu, Mohd Rosli menasihatkan orang awam khususnya pihak pengurusan masjid dapat tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang kes kecurian di masjid masing-masing biarpun jumlah kehilangan sedikit.
Menurutnya, berdasarkan rekod tahun lalu, pihaknya mempunyai tiga laporan berkaitan kes pecah tabung di masjid iaitu di Kuala Berang, Pekan Ajil serta Tok Randok.
“Laporan kepada pihak polis sekiranya berlaku kejadian sedemikian penting bagi membolehkan polis menjalankan rondaan di kawasan terlibat dengan lebih kerap.
"Sekiranya tiada laporan diterima biarpun kejadian, kita berandaian tidak berlaku apa-apa kerana tiada maklumat," katanya.
Pada 10 Jun tahun lalu, Sinar Harian pernah menyiarkan laporan kejadian pecah kereta di pekarangan Masjid Kampung Butut melibatkan imam dan seorang jemaah iaitu Ramly Jusoh, 60, serta Syed Ibrahim Syed Hitam, 77.
Menurut Syed Ibrahim, kes kecurian di masjid tersebut bukan perkara luar biasa sebaliknya ia kerap berulang terutamanya melibatkan tabung masjid dan jika dihitung sudah lebih 10 kali berlaku kejadian sedemikian termasuk beberapa kes kecurian motosikal.
Katanya, ada antara kes kecurian melibatkan tabung masjid dilarikan pencuri, namun dihantar kembali beberapa hari selepas itu dengan diletakkan di tepi dinding dalam masjid, selain banyak tabung rosak akibat dikopak.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tinggal-kekasih-dalam-kereta-1.360863