ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
RADIN MALLEH (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada peserta program Mesej Akuakultur Ternakan Udang Galah di Kampung Nabahan, Beaufort, Sabah, baru-baru ini.
BEAUFORT 12 April – Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri memperkenalkan penternakan spesies ikan lampan jawa, bulan-bulan dan keli di Mini Estet Sejahtera (Mesej) Kampung Nabahan, Beaufort dalam usaha meningkatkan potensi ekonomi para peserta program itu.
Menterinya, Datuk Radin Malleh berkata, pengenalan penternakan spesies ikan berkenaan di Mesej Akuakultur Ternakan Udang Galah kampung itu dilaksanakan pihaknya pada tahun ini.
“Kita melihat pengenalan ternakan ikan ini sebagai alternatif tambahan kepada ternakan udang galah sedia ada di pusat ternakan itu melalui program Mesej.
“Saya difahamkan permintaan kepada spesies ikan-ikan tersebut amat tinggi di pasaran dan ini sekali gus mampu meningkatkan pendapatan peserta program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Mesej Akuakultur Ternakan Udang Galah, Kampung Nabahan, Beaufort di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai masalah yang dibangkitkan iaitu kerosakan pada kolam ternakan, Radin memberi jaminan pejabat Daerah Beaufort dan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan (Ko-Nelayan) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengkaji seterusnya menangani masalah itu.
Malah ujar beliau, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan membina tapak-tapak baharu bagi menggantikan tiga kolam yang rosak selepas menerima laporan kajian itu kelak.
Selain itu, Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) memberitahu, dari tahun 2012 hingga 2014, kerajaan telah menyediakan bekalan benih udang galah sebanyak 500,000 ekor bagi 10 buah kolam di Mesej Kampung Nabahan.
“Sehingga tahun lalu, benih udang galah yang telah dibekalkan ialah 350,000 ekor bagi tujuh buah kolam manakala bakinya belum dibekalkan ekoran kerosakan pada tiga buah kolam.
“Sehubungan itu, pembinaan dan bantuan yang diberikan itu bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat luar bandar terutama di negeri ini keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.