ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MARANG 14 Ogos - Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 12, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Dua, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, penumpang kereta tersebut, Mohamad Fairuz Rani, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Dua lagi rakannya, Ahmad Amir Fikri Abdul Nasir yang juga pemandu kereta itu, dan Ahmad Hafiz Zaini@Ramli yang masing-masing berusia 20 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian kenderaan yang dinaiki empat sahabat itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang.
Katanya, kereta yang dipandu Ahmad Amir Fikri dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tangga jejantas.
“Susulan kejadian itu seorang mangsa maut di tempat kejadian manakala dua rakannya yang cedera parah di kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, seorang lagi rakan mereka, Mohamad Faizzuddin Mohd Saad, 20, pula patah kedua-dua kakinya. – BERNAMA