-RIZUAN-
CG Top Poster Club

- Messages
- 20,958
- Joined
- Mar 5, 2008
- Messages
- 20,958
- Reaction score
- 641
- Points
- 161
BANDAR JERANTUT, Pahang - Gara-gara besi penutup longkang patah, seorang kanak-kanak terpaksa menahan sakit apabila kaki kanannya terperosok dan tersepit pada jeriji besi penutup longkang terbabit.
Kanak-kanak malang itu, Hadif Hazim Azli, 6, ketika itu mahu ke kereta bapanya selepas selesai menjamu selera bersama keluarganya di bandar ini.
Bagaimanapun dia tidak bernasib baik, apabila jeriji besi penutup longkang yang dipijaknya patah menyebabkan kakinya terperosok dan tersepit.
Bapanya, Azli Ahmad, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelmarin, semasa dia dan Hadif menuju ke keretanya selepas selesai makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera.
Menurutnya, isterinya, Norazila Sulaiman, 37, bersama dua anaknya yang lain ketika itu sudah terlebih dahulu beredar ke kereta.
“Ketika melalui besi penutup longkang itu, tiba-tiba Hadif menjerit dan menangis. Dia jatuh terduduk dan sebelah kakinya terperosok ke dalam penutup longkang berkenaan.
“Saya cuba mengeluarkan kakinya tetapi gagal walaupun dibantu orang ramai. Usaha mengeluarkan kaki Hadif tetap juga gagal,” katanya kepada Sinar Harian.
Azli berkata, disebabkan gagal mengeluarkan kaki anaknya, dia terpaksa memujuk dan menenangkan anaknya sementara menanti orang ramai menghubungi bomba dan penyelamat untuk bantuan.
Katanya, selepas 10 minit menanti, anggota dari Balai Bomba dan Pe*nyelamat Jerantut tiba dan terus mengeluarkan kaki Hadif meng*gunakan alatan khas.
“Selepas berjaya dikeluarkan, saya terus membawa Hadif ke klinik swasta berhampiran untuk men*dapatkan rawatan.
“Terima kasih kepada orang ramai dan bomba yang datang menghulurkan bantuan. Saya bersyukur dan lega apabila kaki anak saya tidak mengalami kecederaan serius, tetapi hanya calar kerana terkena geselan besi penutup longkang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Ridzuan Mansor, 37, berkata, pihak Majlis Daerah Jerantut (MDJ) perlu memastikan setiap penutup longkang di kawasan bandar selamat bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Katanya, ada penutup longkang yang sudah lama berkarat dan reput, menyebabkan ia mudah patah jika dipijak.
“MDJ perlu menggantikan penutup longkang yang baru bagi mengelakkan bahaya,” katanya. - Sinar Harian