ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Adil dan bertolak ansur antara resipi kebahagian Anuar dan Fatimah.
PANDANGAN pertama membuahkan bibit-bibit cinta membuatkan Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Pahang, Anuar Hassan tidak berganjak lagi untuk menyunting seorang gadis menjadi suri hidupnya.
Mengimbau kembali detik pertemuan dua hati kira-kira 30 tahun lalu di sebuah restoran, Anuar, 53, tidak menyangka dia tidak bertepuk sebelah tangan.
Ketika itu, Fatimah Hassan, 53, juga masih belum berpunya dan menyambut salam perkenalan dari Anuar dengan baik.
Anuar yang ketika itu bertugas di Balai Bomba Bentong tidak berpaling lagi kerana yakin wanita berkenaan mampu membahagiakan hidupnya dan berupaya melalui suka duka bersamanya.
“Pada mulanya saya memang tak sangka dia jodoh saya kerana saya ada berkawan dengan beberapa wanita ketika itu. Namun, selepas berkenalan dan melihat keperibadiannya yang cukup sempurna seperti penyabar, romantik dan pandai memasak membuatkan saya yakin untuk memperisterikannya.
“Saya tidak mengambil masa yang lama, segera memaklumkan pada keluarga, merisik dan terus berkahwin dalam tempoh enam bulan berkenalan," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Kampung Mortan, Melaka itu, selepas setahun berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, isteri mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah.
“Saya tidak pernah memaksa dan semua dilakukan atas kehendaknya. Saya cukup gembira dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan isteri," jelasnya.
Sementara itu, Fatimah yang berasal dari Bentong berkata, ketika suaminya menghulurkan salam perkenalan dia menerimanya kerana keberanian dan sikap berterus-terang yang ditunjukkan.
“Dia meyakinkan saya dan berterus-terang dengan hasratnya. Saya cakap jika betul-betul nak berkawan dan memperisterikan saya, segera berjumpa dengan ibu dan ayah saya.
“Dia cukup berani dan pandai mengambil hati sehingga kami diijabkabulkan. Sepanjang mengenalinya, suami seorang yang cukup romantik. Walaupun tegas, hakikatnya dia seorang yang manja,” katanya.
Menariknya mengenai Anuar, walau sesibuk mana sekali pun, dia tidak pernah lupa tarikh-tarikh penting seperti ulang tahun perkahwinan, tarikh lahir pasangan dan juga anak-anak.
“Biar tak ingat nama anak-anak, yang penting tarikh-tarikh penting itu saya tak akan lupa.
“Cukuplah dengan ucapan dan sebiji kek untuk meraikan hari-hari penting itu, sudah cukup membahagiakan saya,” jelas bapa kepada tiga anak berkenaan.
Ketika diminta berkongsi rahsia kebahagiaan mahligai cinta mereka, Anuar memberitahu sebaik sahaja berkahwin, setiap pasangan perlu ingat bahawa kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi dengan keluarganya sekali.
“Bukan sekadar menjadi hubungan baik dengan pasangan malah dengan seluruh kehidupannya iaitu keluarga dan saudara maranya. Kalau dah menempuh alam perkahwinan, jaga keluarga sendiri dan keluarga mertua. Kena adil dan bertolak ansur,” jelasnya.
Bagi Fatimah pula, bersabar dan faham tugas serta tanggungjawab pasangan adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.
“Jika tidak faham tugasnya yang sentiasa bekerja di luar kawasan dan kadang kala berkursus sehingga sebulan ke luar negara, kita tidak akan pandang serong. Sentiasa bersangka baik dan paling utama percaya pada pasangan,” ujarnya.