ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SHAFIK FAUZAN SHARIF (tengah) dan Syed Abdullah Syed Abdul Kadir (kiri) melihat hasil tangkapan ikan menggunakan alat peranti penyisih penyu di Jeti Perikanan Padang Lalang, Kuantan, Pahang, semalam. UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN 27 Mac – Alat Peranti Penyisih Penyu (TED) akan diberikan secara percuma kepada 284 nelayan bot pukat tunda musim tengkujuh di seluruh negara mulai tahun ini.
Pengarah Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Perikanan, Sani Mohd. Isa berkata, pemberian peranti tersebut akan dibuat secara berperingkat melibatkan nelayan yang menggunakan pukat tunda pada musim tengkujuh.
“TED bukan mudah untuk dihasilkan dan memerlukan masa. Buat permulaan, sebanyak 100 alat itu diberikan secara percuma kepada nelayan tersebut untuk tahun ini bagi meningkatkan kualiti tangkapan,” katanya selepas majlis pelancaran program penggunaan TED ke atas pukat tunda musim tengkujuh peringkat negeri di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.
Yang turut hadir, Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Penyu dan Spesisi Marin Terancam FRI Rantau Abang, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.
Menurut Sani, pukat tunda musim tengkujuh hanya boleh digunakan oleh nelayan pada bulan September hingga Mac tahun berikutnya yang terdapat di Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak.
Katanya, penggunaan alat TED pada pukat tunda mampu menyisihkan penyu dan ikan baja daripada terperangkap bersama-sama sampah di dalam keroncong pukat berkenaan.
“Kita mahu menggalakkan semua nelayan pukat tunda musim tengkujuh menggunakan TED kerana terbukti mampu menghasilkan pendapatan lebih baik. Hasil diperoleh seperti udang dan ikan juga bersih daripada sampah,” katanya.
Sementara itu, Shafik Fauzan berkata, terdapat 99 bot pukat tunda musim tengkujuh dan enam bot dipasang dengan TED di negeri ini.
“Penggunaan TED nyata memberi banyak kelebihan dan tidak menjejaskan hasil tangkapan nelayan. Ini juga adalah hasrat kerajaan untuk memelihara khazanah alam,” katanya.