ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Longgokkan tayar di tengah Jalan Hang Lekir 22 menyusahkan penduduk.
JOHOR BAHRU - Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menutup Jalan Hang Lekir 22, Taman Skudai Baru, di sini, dengan meletakkan longgokan tayar menimbulkan rasa kurang senang pengguna jalan raya.
Adun Skudai, Dr Boo Cheng Hau berkata, longgokan tayar itu menghalang dan menutup jalan berkenaan sehingga memaksa orang ramai menggunakan laluan pintas untuk Taman Melawati, Skudai, di sini yang melawan arus.
Menurutnya, sehingga ke hari ini, pihaknya masih tidak mengetahui siapa yang bertindak menutup laluan terbabit dengan hanya meletakkan tayar sahaja.
"Dari jalan utama, pengguna lalu lintas yang kebiasaannya menggunakan Jalan Hang Lekir 22 untuk ke Taman Melawati kini terpaksa membuat pusingan U di kawasan berhampiran.
"Akan tetapi atas sebab-sebab tertentu, ada di antara pengguna sanggup menggunakan laluan sehala secara bertentangan untuk ke Taman Melawati dan ini kadang-kadang membahayakan diri mereka sendiri," katanya ketika melawat lokasi aduan di sini semalam.
Cheng Hau berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan meletakkan tayar di laluan terbabit bertujuan untuk menghalang pihak lain membuang sampah secara haram di sepanjang Jalan Hang Lekir 22.
"Jika dilihat pada bahu jalan ini, anda boleh lihat banyak sampah sarap seperti bahan binaan, sisa buangan dari dapur, mahupun kayu kayan yang dibuang.
"Mungkin lokasi ini menjadi tumpuan pihak tertentu untuk membuang sampah berikutan lokasi ia yang sunyi pada masa-masa tertentu. Akan tetapi, mungkin ada cara lain untuk menghalang pihak tertentu membuang sampah di sini, selain meletakkan longgolan tayar," katanya.
Beliau berkata, pihak Solid Waste Corporation (SWCorp) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) sudah dimaklumkan berhubung aduan terbabit.
"Saya berharap akan ada tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak bertanggungjawab membuat halangan ini.
"Pihak SWCorp dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui unit penguatkuasaan perlu pantau serta lihat sendiri permasalahan ini. Tindakan perlu diambil di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.
Cheng Hau turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengambil nombor pendaftaran kenderaan yang kelihatan berada di lokasi terbabit, bagi membuang sampah atau tindakan tidak bermoral lain untuk dimaklumkan kepadanya atau pihak berwajib.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Kawal Selia SWCorp, Muhamad Rozai Rafiq Mohd Rohani berkata, pihaknya ada menerima laporan aduan daripada wakil rakyat Skudai itu.
"Pihak kami, SWM Enviroment Sdn Bhd dan MPJBT akan melakukan kerja pembersihan. Cuma longgokan tayar ini diletakkan secara sementara bagi tujuan mengelakkan sampah haram dibuang di lokasi ini.
"Jika tidak letakkan longgokkan tayar di situ, orang ramai akan buang sampah dan perlu dibersihkan lagi. Bagaimanapun, kami akan mengambil tindakan sewajarnya demi keselesaan orang ramai," katanya.