Seperti yang sedia maklum, harga memori komputer telah semakin meningkat kerana permintaan untuknya kini adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang boleh dihasilkan syarikat-syarikat pengeluar memori. Ia juga tidak membantu apabila syarikat pengeluar memori ketiga terbesar di dunia, Micron mengatakan bahawa mereka telah menutup jenama memori pengguna Crucial dan akan memfokuskan kepada pengeluaran memori untuk kegunaan pusat data dan sistem kecerdasan buatan sahaja. Terkini, ia dilaporkan bahawa Dell akan mula meningkatkan tanda harga untuk komputer-komputer riba mereka seawal pertengahan bulan Disember ini kerana isu tersebut. Pada bulan November, Ketua Pegawai Operasi Dell, Jeff Clarke mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat harga untuk komponen meningkat dengan mendadak seperti ini, dan ini memaksa Dell untuk meningkatkan harga peranti-peranti mereka secepat mungkin.
Malah, Lenovo yang sebelum ini dilaporkan telah membeli bekalan komponen memori yang banyak mengatakan bahawa mereka terpaksa mula menaikkan harga peranti-peranti mereka seawal Januari 2026 ini. HP pula mengatakan bahawa sekiranya harga memori tidak turun dalam masa terdekat ataupun sederhana ini, mereka juga akan dipaksa untuk menaikkan harga produk=produk mereka menjelang separuh kedua tahun ini. Dalam pada itu, kenaikan harga memori ini juga membuatkan kos pembangunan komputer riba semakin mahal. Dimana kos memori dan storan komputer riba sebelum ini memakan belanja 10-13 peratus, angka tersebut kini dilihat meningkat sehingga 23 peratus sekarang kerana komponen-komponen ini sahaja. Trend AI memakan semua sumber memori dilihat akan berterusan untuk sekurang-kurangnya setahun akan datang, dengan syarikat-syarikat seperti OpenAI, NVIDIA, Google dan AWS semua dilihat memerlukan lebih banyak memori untuk menghasilkan adikomputer AI yang berkuasa.
Micron Mengeluarkan Kenyataan Berkenaan Sektor Memori Untuk Komputer Pengguna
Pada penghujung tahun lepas, Micron, salah satu daripada pengeluar komponen DRAM dan NAND untuk memori dan storan telah membuat keputusan untuk menutup anak syarikat Crucial mereka untuk memberi tumpuan penuh terhadap pengeluaran cip memori untuk sektor kecerdasan buatan dan mesin pelayan. Dalam sebuah temubual bersama laman berita teknologi WCCF Tech, Christopher Moore, Timbalan Presiden Pemasaran untuk segmen Mobile and Client Business Unit telah ditanya jika ia benar bahawa Micron akan mengalih perhatian secara sepenuhnya kepada pengeluaran komponen memori untuk sektor AI sahaja apabila Crucial ditutup secara rasmi pada penghujung bulan ini.
Beliau mengatakan bahawa walaupun Crucial sudahpun ditutup, ia tidak bermakna bahawa kapasiti pengeluaran mereka akan difokuskan sepenuhnya kepada sektor tersebut. Micron masih lagi akan menghasilkan komponen memori seperti LPDDR5X kepada jenama-jenama pengeluar peranti elektronik seperti ASUS, Dell, HP, dan sebagainya yang masih lagi menghasilkan peranti komputer untuk segmen pengguna. Micron juga sudahpun memulakan pembangunan kilang pengeluaran komponen gergasi bernilai $100 bilion di pinggiran New York yang dijangka akan menghasilkan 40 peratus daripada pengeluaran keseluruhan syarikat tersebut menjelang 2040.
Terdapat juga sebuah lagi kilang yang akan dibuka di Idaho yang dinamakan ID1 yang akan siap dibina pada tahun 2027, tetapi telah mengatakan bahawa pengeluaran pada kadar kapasiti penuh hanya akan bermula pada 2028. Bergantung kepada permintaan industri mesin pelayan dan kecerdasan buatan, jangkaan orang ramai ialah isu bekalan memori dan storan ini, ia dilihat bahawa isu bekalan komponen tersebut hanya akan bermula untuk reda sekitar 2028, tetapi fokus masih akan diberikan kepada sektor kecerdasan buatan kerana margin keuntungan yang terlalu besar untuk dihiraukan.