balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Dadah yang ditemui dalam beg pinggang suspek setelah dia cuba mencampaknya ke dalam semak bagi mengelak dikesan polis.
< 1 / 1 >
KUANTAN - Seorang wanita berperwatakan lelaki ditahan untuk pemeriksaan selepas bertindak mencampak beg pinggangnya kerana panik terserempak dengan anggota polis di Felda Bukit Kuantan, di sini, kelmarin.
Tindak-tanduk mencurigakan wanita berusia 22 tahun itu memaksa anggota polis terlibat menahannya untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan ke atas beg yang dicampakkan ke dalam semak, polis menemui botol yang mengandungi dua keratan penyedut minuman setiap satunya berisi sebiji pil disyaki dadah dan satu paket lutsinar disyaki berisi heroin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Panching mengadakan pemantauan dan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut sebelum terserempak dengan gadis terbabit sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, selepas ternampak anggota polis, dia tiba-tiba memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah surau lama sebelum mencampakkan beg pinggangnya ke dalam semak berhampiran.
“Tindak-tanduknya yang mencurigakan itu disaksikan anggota bertugas sebelum mereka bertindak menahan wanita itu untuk pemeriksaan manakala beg yang dicampakkan didapati tersimpan sejumlah dadah dalam kuantiti kecil,” katanya.
Abdul Aziz berkata, ketika diarahkan supaya menyerahkan kad pengenalan untuk pemeriksaan, suspek yang berasal dari Taman Balok Jaya dekat sini juga gagal berbuat demikian dengan alasan tertinggal dokumen itu di rumah.
“Wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti sama ada wanita berkenaan terlibat dalam aktiviti mengedar dadah di sekitar kawasan berkenaan atau dadah yang ditemui itu hanya digunakan untuk keperluan sendiri saja,” katanya.