Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Sultan Selangor Mahu UiTM Terus Jadi Pintu Mobiliti Sosial Anak Melayu, Bumiputera
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Titah Diraja Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2026 di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus memainkan peranan sebagai pintu mobiliti sosial bagi anak Melayu dan Bumiputera, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar untuk membina masa depan lebih baik menerusi pendidikan.
Baginda tidak mahu apabila UiTM semakin besar dan maju, golongan sasar yang menjadi sebab asal institusi berkenaan diwujudkan dibiarkan tercicir atau menjadi semakin jauh daripada peluang pendidikan tinggi.
“Anak seorang petani, nelayan, pemandu, pekerja kilang atau keluarga miskin di kampung mesti terus diberi keyakinan bahawa sekiranya mereka mempunyai kebolehan dan kesungguhan untuk mencapai ketinggian ilmu, UiTM akan menyediakan jalan untuk mereka mengubah masa hadapannya.
“Itulah roh perjuangan UiTM yang tidak seharusnya hilang,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja UiTM 2026 bertemakan ‘Kecemerlangan Institusi Pendidikan Teras Pembangunan Negara’ di Dewan Konsert Seri Budiman di sini hari ini.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Majlis anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa itu turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Sultan Selangor bertitah penubuhan UiTM telah membuka ruang pendidikan yang sebelum itu sukar ditembusi oleh ramai anak bangsa, sekali gus menjadi wadah penting dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi.
Baginda bertitah pada 1965, institusi yang menjadi asas kepada UiTM hari ini hanya mempunyai kira-kira 219 pelajar dan 11 tenaga pengahar, sebelum berkembang pesat dalam tempoh sedekad dengan jumlah pelajar mencecah hampir 7,000 orang dan tenaga pengajar kira-kira 1,000 orang.
Dalam tempoh itu, institusi berkenaan turut menawarkan sekitar 60 program pengajian selain mula memperluas penubuhan kampus cawangan ke beberapa negeri.