kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,703
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,703
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Sultan Nazrin Berangkat Ke Sambutan Hari Pahlawan 2026 Negeri Perak
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memberi tabik hormat pada sambutan Hari Pahlawan 2026 Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada 9.05 pagi disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Mohd Rosli Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak, diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin, yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen.
Kawalan kehormatan utama itu diketuai oleh Mejar Mohd Izuan Mohamed serta dibantu Kapten Muhammad Lutfil Hadi Osman, manakala pegawai pembawa panji-panji ialah Leftenan Aizi Putra.
Barisan perhimpunan pula melibatkan 280 pegawai dan anggota pasukan keselamatan termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis.
Setelah pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Pegawai Staf Agama Markas 2 Briged Mejar Hashim Abdul Rahman, diikuti deklamasi sajak bertajuk "Pahlawan” oleh Leftenan Hadzeri Julai daripada Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti dengan lagu kebesaran negeri Perak.