BTC USD 63,157.2 Gold USD 4,326.02
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sukan Paralimpik Paris 2024

Bonnie Raih Emas, Pecah Rekod Dunia

06.09.2024 - Atlet powerlifting paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan apabila merangkul pingat emas kedua negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024, hari ini. Atlet berusia 25 tahun berasal dari Sarawak itu menguasai kategori 72 kilogram (kg) setelah berjaya melakukan angkatan 232kg pada angkat ketiga sekali gus memadam rekod dunia diciptanya sebelum ini iaitu 231kg, lapor Buletin TV3. Hu Peng dari China meraih pingat perak manakala gangsa dimenangi wakil Itali Donato Telesca. Kejayaan itu menyaksikan mengumpul dua pingat emas di pentas Sukan Paralimpik selepas kali pertama pada edisi Tokyo 2020.
1725623629799.png

 
Reputasi Tercalar, Pencapaian Kurang Gah Di Paris 2024

10.09.2024 -
Pencapaian atlet paralimpik negara selama ini tidak pernah mengecewakan, malah menghasilkan kejayaan cemerlang, termasuk membawa pulang tiga pingat emas di Sukan Paralimpik, masing-masing pada Rio 2016 dan Tokyo 2020. Rentetan daripada pencapaian membanggakan tersebut, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) semakin berani menetapkan sasaran untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan menyasarkan empat emas untuk dibawa pulang dari temasya sukan di sini. Bagaimanapun, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Perumpamaan tersebut mungkin sesuai untuk menggambarkan pencapaian kontinjen Malaysia yang kurang ‘garang’ pada Sukan Paralimpik Paris 2024, yang melabuhkan tirainya di Stade de France, di sini, malam tadi, selepas menamatkan cabaran dengan dua emas, dua perak, dan satu gangsa. Keyakinan yang dilaungkan MPM sebelum ini bahawa Malaysia mampu mencapai empat pingat emas tidak berjaya direalisasikan, sekali gus menyaksikan reputasi kontinjen negara, yang dibarisi 30 atlet yang bertanding dalam lapan jenis sukan, sedikit tercalar pada Sukan Paralimpik kali ini.

Lebih memeritkan, kedua-dua perak di Paris 2024 itu datang daripada dua jaguh olahraga, iaitu Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual), yang sebelum ini menjadi sandaran utama negara untuk menjelmakan kilauan emas di kota Paris. Empat pingat yang diraih Malaysia kali ini juga datang daripada atlet-atlet lama, termasuk dua pingat emas, masing-masing daripada jaguh badminton para Cheah Liek Hou dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin. Situasi itu jelas menggambarkan bahawa kontinjen Malaysia masih bergantung kepada atlet berpengalaman untuk membawa pulang pingat, serta memberi petanda sama ada atlet baharu atau pengganti mereka mampu menggalas cabaran yang pernah dibawa oleh barisan atlet senior selepas ini. Ini kerana, daripada 18 atlet pendatang baharu, hanya Eddy Bernard yang berjaya membawa pulang pingat, iaitu gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Biarpun Liek Hou dan Muhammad Ziyad masih enggan mengalah dan berhasrat beraksi di Los Angeles 2028 (LA 2028), faktor usia mereka yang semakin meningkat menimbulkan persoalan sejauh mana mereka mampu memberi tentangan sengit empat tahun lagi. Bukan sahaja perlu berwaspada dengan pemenang emas Ukraine, Oleksandr Yarovyi, 25, yang masih muda, malah Muhammad Ziyad dijangka berdepan rintangan lebih hebat sekiranya pemegang rekod dunia, Maksym Koval dari Ukraine, yang mempunyai lontaran sejauh 17.57m, memutuskan untuk membalas dendam di LA 2028 selepas terpaksa berpuas hati dengan gangsa. Begitu juga dengan Latif Romly, yang tidak boleh memandang enteng kehadiran Matvei Iakushev selepas Atlet Paralimpik Neutral itu menafikan emas hatrik acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) yang disambarnya menerusi lompatan akhir 7.51 meter (m) di Stade de France.

Atlet dari Kangar itu juga tidak boleh membiarkan kecederaan terus menghimpitnya semasa beraksi pada Sukan Paralimpik, selepas mengalami kecederaan otot perut di bahagian kiri yang menjejaskan peluangnya merangkul emas di Paris 2024, jika beliau mahu meraih kedudukan tertinggi di podium pada LA 2028. Untuk memastikan sukan olahraga para terus cemerlang dan menyumbang pingat di pentas Paralimpik, tumpuan juga harus diberikan kepada pemantapan program latihan untuk Eddy dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi, yang berpotensi 'meletup' pada masa akan datang. Eddy berjaya menyerlah dalam Sukan Paralimpik pertamanya dengan meraih pingat gangsa, manakala Muhammad Ammar Aiman hampir meraih pingat gangsa dalam acara 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual), tetapi terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat selepas dipintas pada saat akhir oleh Yovanni Philippe dari Mauritius. Dalam pada itu, Bonnie sememangnya layak diangkat sebagai atlet Malaysia paling cemerlang di Paris 2024, setelah sanggup melawan kecederaan bahu kiri untuk merangkul emas dengan angkatan seberat 232kg, sekali gus meleburkan rekod lama miliknya sebanyak 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Memandangkan umurnya yang masih muda, atlet berusia 25 tahun itu tidak mustahil menjadi prospek cerah emas di LA 2028, sekiranya beliau terus meningkatkan prestasi, terutama dari segi jumlah angkatannya. Bagaimanapun, prestasi atlet dari Sarawak itu tidak dapat diikuti oleh dua rakan sepasukannya, iaitu Jong Yee Khie dan Nicodemus Manggoi Moses. Kecederaan di dada kanan meragut peluang Yee Khie, yang merupakan pemenang pingat perak dalam acara lelaki 107kg pada Tokyo 2020, untuk kembali ke podium. Beliau hanya dapat berada di kedudukan ketujuh dengan angkatan seberat 208kg, manakala Nicodemus menamatkan kempen sulungnya di pentas Paralimpik di kedudukan ketujuh juga, dengan hanya berjaya melepasi percubaan pertamanya iaitu 210kg. Dalam kem badminton para, Liek Hou ternyata masih berbisa walaupun telah menginjak usia 36 tahun, manakala prestasi Muhammad Fareez Anuar, yang merupakan pemain bukan pilihan, turut menarik perhatian peminat sukan tanah air. Ini berikutan kejayaan memberangsangkan beliau dalam menjuarai Kumpulan B, termasuk mengejutkan pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan, dengan kemenangan 21-14, 21-18. Biarpun terlepas peluang memperoleh pingat gangsa selepas ditundukkan oleh Dheva Anrimusthi dari Indonesia dengan keputusan 21-17, 19-21, 12-21, Muhammad Fareez telah membuktikan kemampuannya dan perlu digilap dengan lebih hebat lagi.

Nasib berbeza dialami Muhammad Ikhwan Ramli, yang gagal membuktikan statusnya sebagai pemain nombor tiga dunia apabila tersingkir di peringkat kumpulan dalam acara perseorangan lelaki WH1 (kecacatan fizikal). Cabarannya bersama gandingan Noor Azwan Noorlan dalam acara beregu lelaki WH1-2 (kecacatan fizikal) juga terhenti di peringkat yang sama. Ketiadaan bekas pemenang pingat perak individu BC1, Chew Wei Lun, yang telah bersara, jelas dirasai oleh kem boccia negara apabila tiga atlet baharu, iaitu Noor Askuzaimey Mat Salim, Abdul Razzaq Abdul Rahman, dan Lee Chee Hoong, tidak berjaya menjelmakan kilauan pingat di South Paris Arena 1. Daripada tiga muka baharu tersebut, Noor Askuzaimey wajar diberi pujian susulan semangat juang tingginya yang membolehkannya melepasi peringkat kumpulan sebelum tewas 1-7 kepada jaguh Colombia, Leidy Chica Chica, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara individu wanita BC4 (kecacatan fizikal). Prestasi tidak menentu jaguh memanah para negara, S. Suresh, sejak muncul juara dunia 2019 berterusan apabila beliau tersingkir awal di pentas Paralimpik buat kali kedua berturut-turut. Kali ini, beliau disekat oleh jaguh Iran, Mohammad Reza Arab Ameri, dengan keputusan 2-6 dalam pusingan penyingkiran 1/8 acara recurve terbuka lelaki di Invalides.

Panahan dua lagi pemanah compound negara, G. Daneshen (lelaki) dan Nur Jannaton Abdul Jalil (wanita), juga kurang memuaskan apabila masing-masing tersingkir di peringkat 1/16 kepada lawan mereka. Walaupun tersingkir awal, Suresh boleh mendabik dada kerana telah memperbaharui catatan musim terbaiknya dengan 596 mata semasa saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech Jun lalu. Begitu juga dengan Nur Jannaton, yang memperoleh 649 mata, mengatasi rekod terdahulu sebanyak 615 mata pada Kejohanan Ranking Memanah Para Dunia Fazza di Dubai pada Mac lalu. Daripada keseluruhan enam pelumba yang dibariskan skuad berbasikal para negara, kelibat Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dilihat lebih menyerlah berbanding yang lain, termasuk menjadi pelumba terbaik Asia dalam saingan lebuh raya. Beliau menamatkan acara ujian masa individu lelaki C1 (kecacatan fizikal) di tangga kelima, mengatasi jaguh China, Li Zhangyu, yang pernah memenangi dua emas dalam saingan berbasikal trek. Penampilan kedua perenang para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, boleh dianggap baik berbanding aksinya di Tokyo 2020. Beliau layak ke final tiga kali di Paris La Defense Arena, termasuk memperbaharui rekod peribadi acara kegemarannya, 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal). Rekod barunya adalah 1:45.15s pada peringkat saringan, mengatasi catatan lama 1:46.78s yang dibuat semasa memenangi emas di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

Kegugupan perenang para negara Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan, pada aksi sulungnya di pentas Paralimpik menyebabkan beliau tidak berjaya melangkah ke final acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual). Beliau menduduki tangga tercorot secara keseluruhan daripada tiga saringan dengan catatan 1:04.58s. Kem tenis kerusi roda negara, yang diwakili oleh pemain berpengalaman Abu Samah Borhan dan muka baharu Muhammad Yusshazwan Yusoff, tidak mampu menyinar di venue ikonik, Stade Roland-Garros. Masing-masing terkandas pada pusingan pertama dalam acara perseorangan lelaki, manakala dalam pusingan kedua acara beregu lelaki, mereka akur kepada pilihan kelima dari Sepanyol, Daniel Caverzaschi-Martin De La Puente, dengan keputusan 2-6, 3-6. Di sebalik kehampaan yang menyelubungi kontinjen Malaysia, mereka perlu mengambil iktibar daripada kegagalan mencapai sasaran empat emas dan kembali bangkit dengan menampilkan aksi yang lebih luar biasa pada edisi seterusnya di LA 2028. Au revoir (selamat tinggal), Paris 2024!​

1725963442765.png
 
Sukan Paralimpik 2024 Labuh Tirai Dalam Suasana Fiesta Paris

10.09.2024 - Selepas 11 hari yang tidak dapat dilupakan penuh dengan persaingan sengit, persembahan bertaraf dunia dan paparan semangat juang yang tidak mudah luntur, Obor Paralimpik akhirnya dipadamkan malam ini, menandakan berakhirnya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bersejarah. Stadium Stade de France yang penuh sesak dengan penonton, atlet dan para kenamaan menjadi tumpuan majlis penutup yang memukau dipenuhi dengan persembahan hebat termasuk penghormatan kepada kehidupan malam Paris mengikut irama muzik elektronik. Penyanyi Perancis, Santa, memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu ikonik Johnny Hallyday, Vivre pour le Meilleu, dengan penuh bertenaga yang memberikan aura luar biasa kepada acara tersebut. Barisan atlet daripada 168 delegasi Paralimpik berarak dengan penuh kebanggaan dalam stadium, disambut sorakan gemuruh dari penonton dan diiringi oleh pancaragam Pengawal Republik yang menambah kemeriahan suasana dengan mempersembahkan pilihan lagu popular Perancis dan antarabangsa.

Selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons mengisytiharkan temasya sukan itu ditutup dengan rasmi disusuli dengan persembahan oleh lapan penari termasuk atlet kurang upaya mengikut rentak DJ Perancis, Cut Killer. Bendera Paralimpik kemudian diturunkan oleh pegawai Tentera Perancis sebelum diserahkan oleh Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo kepada Parsons yang menyerahkannya pula kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass. Ia sebagai simbolik bandar tersebut akan menjadi tuan rumah untuk edisi Sukan Paralimpik Los Angeles 2028. Penonton ‘dibawa’ ke pesta maya di Venice Skate Beach Park, California, menampilkan persembahan oleh bintang antarabangsa dan pemenang Anugerah Grammy lapan kali Anderson .Paak, bersama kumpulannya yang mempersembahkan lagu hit mereka, Come Down.

Obor Paralimpik kemudian memasuki stadium dalam tanglung yang dipegang oleh beberapa atlet Paralimpik Perancis termasuk bintang boccia dan pemenang pingat emas individu wanita BC1 (kecacatan fizikal), Aurelie Aubert, sebelum ia dipadamkan dengan sekali nafas. Walaupun hujan, kemuncak majlis penutup menampilkan 23 DJ muzik elektronik diketuai oleh Jean-Michel Jarre, bapa muzik elektronik Perancis serta Kavinsky, yang meraikan kepelbagaian industri muzik elektronik Perancis yang penuh rancak. China muncul sebagai juara keseluruhan buat kali keenam berturut-turut dengan 94 pingat emas, 76 perak, dan 50 gangsa diikuti oleh Great Britain (49-44-31) dan Amerika Syarikat (36-42-27). Malaysia, bagaimanapun, menamatkan kempen mereka dengan kekecewaan di kedudukan ke-42 apabila gagal mencapai sasaran empat pingat emas dengan membawa pulang dua emas, dua perak dan sebutir gangsa.​

1725963540358.png
 
Sarawak Umum Insentif RM500,000 Buat Bonnie Bunyau

22.09.2024 -
Kerajaan Sarawak mengumumkan insentif RM500,000 buat Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaannya mempertahankan pingat emas dengan memecahkan rekod dunia pada temasya Paralimpik Paris 2024. Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, atlet powerlifting itu telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dan juga Sarawak dalam arena sukan antarabangsa. Bonnie ialah model yang harus kita ambil sebagai contoh, saya ucapkan tahniah kepada Bonnie kerana telah dapat memecahkan rekod dunia yang mengharumkan negara Malaysia dan juga Sarawak. Kita harap ini akan menjadi dorongan kepada atlet-atlet muda Para Sukma untuk berlatih dengan lebih giat supaya mendapat kejayaan pada masa akan datang, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 di Stadium Perpaduan malam ini. Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. Abang Johari berkata, Sarawak akan terus melatih atlet para yang mempunyai potensi mewakili negara pada peringkat antarabangsa untuk bersama-sama merealisasikan pembangunan sukan tanah air. “Ingin saya nyatakan di sini kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bahawa Sarawak akan bersama-sama turut serta membangunkan sukan di seluruh Malaysia dengan kemampuan Sarawak yang ada … sebab itu kita telah bersetuju menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Kepada para atlet, saya yakin mereka akan berusaha bukan sahaja mendapat kemenangan tetapi melatih diri dari segi keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup. Saya yakin atlet Para Sukma juga boleh memberikan kejayaan yang besar, katanya.

Pada Sukan Paralimpik Paris bulan lepas, Bonnie mempertahankan emas kategori 72kg lelaki dengan angkatan seberat 232kg, meleburkan rekod dunia 231kg yang dicapainya pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai. Jumlah angkatannya itu juga menjadi rekod baharu temasya sukan tersebut, mengatasi rekod 228kg yang juga milik Bonnie pada edisi Tokyo 2020. Kerajaan persekutuan memperuntukkan imbuhan RM1 juta bagi kejayaan meraih emas di Paralimpik menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan, selain tambahan sekiranya memecahkan rekod temasya atau dunia.​

1727024165431.png
 
Back
Top
Log in Register