combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Strategi NIES Perkukuh Budaya Integriti Masyarakat - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Likas hari ini.Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah bin Haji Yusof (dua, kanan), Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (dua,kiri) Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang (kanan) dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) bagi memperkukuh budaya integriti dalam segenap lapisan masyarakat secara menyeluruh, progresif dan sistematik.
Inisiatif strategik negara yang diperkenal menerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) itu diluncurkan beliau sempena sambutan Minggu Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Likas di sini.
Anwar dalam ucapannya berkata peluncuran NIES menandakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha mengakar budaya integriti.
"Ini adalah asas kepada pembangunan negara yang mampan, beretika dan berdaya tahan," katanya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, Aaron berkata peluncuran NIES sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan amat signifikan kerana integriti dan perpaduan adalah asas penting dalam pembinaan negara bangsa yang kukuh.
Beliau berkata NIES adalah inisiatif penting negara bagi memperkukuh integriti melalui penghayatan nilai-nilai murni seperti kejujuran, amanah, ketelusan dan akauntabiliti dalam kehidupan seharian.
"Perpaduan yang berkekalan memerlukan kepercayaan manakala kepercayaan hanya dapat dibina melalui amalan integriti yang berterusan dalam kalangan rakyat, institusi dan kepimpinan negara," katanya.
Sementara itu, IIM dalam kenyataan memaklumkan NIES digubal merentas pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, komuniti, institusi pendidikan, sektor awam dan swasta, institusi politik serta pertubuhan masyarakat sivil bagi membudayakan integriti secara menyeluruh.