combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,177
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,177
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
SPRM, Badan Kehakiman Perkukuh Kerjasama Percepat Bicara Kes Rasuah
Kredit: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman komited memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan kes rasuah, termasuk menyokong penuh penubuhan Mahkamah Khas Rasuah di Kuala Lumpur yang lebih efisien.
Komitmen itu dinyatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh di pejabat beliau di Istana Kehakiman di sini, semalam.
Abd Halim menerusi kenyataan hari ini berkata kolaborasi antara agensi penguat kuasa dan mahkamah amat penting bagi mempercepatkan proses pendengaran kes selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan memperkasa sistem kehakiman negara.
Beliau berkata SPRM turut melaksanakan pelbagai program pencegahan menerusi Bahagian Pendidikan Masyarakat dengan membawa mesej antirasuah secara lebih menyeluruh kepada pelajar sekolah dan mahasiswa universiti.
“Apabila mereka melangkah ke sekolah rendah dan menengah, kita akan memberi penekanan khusus untuk membanteras istilah seperti ‘duit kopi’. Ini penting supaya mereka memahami bahawa perbuatan itu adalah rasuah,” katanya.
Ketika ini, Abd Halim berkata SPRM telah menubuhkan Kadet Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah (Kor SUAR) di peringkat universiti dengan Universiti Sultan Zainal Abidin menjadi pelopor dalam kalangan universiti awam di negara ini.
“Strategi pendidikan akan diteruskan secara berperingkat ke sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada pemahaman istilah yang sering dianggap remeh oleh masyarakat.
“Usaha pendidikan ini merupakan komitmen berterusan yang akan ditekankan sehingga ke peringkat universiti bagi memastikan mesej pencegahan tidak terhenti selepas tamat persekolahan,” katanya.
Mengulas keberkesanan program sedia ada, Abd Halim mengakui masih terdapat keperluan untuk meningkatkan publisiti dan kualiti penyampaian mesej supaya lebih menyeluruh.