combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
SPAN Keluar 270 Notis Pematuhan Pengosongan Tangki Septik Di Sungai Petani
Sebanyak 270 notis pematuhan pengosongan tangki septik dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada pemilik premis di kawasan perniagaan dekat sini hari ini selepas didapati gagal mengosongkan tangki septik secara berjadual.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata notis itu dikeluarkan menerusi Ops Padi 2 yang berlangsung dari 4 hingga 6 Ogos, melibatkan pemeriksaan ke atas 242 premis komersial dan 99 premis domestik.
“Kesemua premis ini didapati gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
“Menerusi operasi hari ini, SPAN mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis pematuhan bagi pengosongan tangki septik,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi di Taman Sejati Indah di sini hari ini.
Beliau berkata kebanyakan premis yang diperiksa dibina pada 1970-an dan 1980-an yang menyaksikan sebahagian besar tangki septik di premis berkenaan telah lama tidak diselenggara.
“Ada kes tangki septik tidak diselenggara melebihi 10 hingga 15 tahun. Malah, terdapat rekod menunjukkan kali terakhir tangki septik sesebuah premis diselenggara ialah pada 1997 dan 1999.
“Di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik premis hendaklah menyelenggara sistem tersebut dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan kerja-kerja nyahenap cemar ke atas tangki septik di premis masing-masing,” katanya.
Ainal Yusman berkata pemilik premis yang menerima notis diberi tempoh 14 hari untuk memberikan maklum balas serta mengambil tindakan mengosongkan tangki septik.
“Jika gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil termasuk mengeluarkan notis kesalahan atau membuka kertas siasatan,” katanya dan memaklumkan pihak yang melanggar subseksyen itu boleh didenda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.