Viere
CG Top Poster Club

- Messages
- 26,579
- Joined
- Aug 8, 2008
- Messages
- 26,579
- Reaction score
- 179
- Points
- 123
Maria Harfizal menjual songkok pelbagai saiz di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang terus menjadi tumpuan setiap kali ketibaan Aidilfitri, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 29 Ogos - Setiap kali Aidilfitri menjelma, pasti tidak lengkap bagi kaum Adam tanpa memakai songkok untuk digayakan bersama baju Melayu agar tampil kacak dan bergaya pada pagi hari raya.
Tidak kiralah apa jua inovasi fesyen yang dilakukan terhadap warisan bangsa itu, ia lazimnya akan menarik perhatian si pembeli dan laris seperti 'pisang goreng panas' menjelang perayaan setahun sekali itu.
Namun sejak kebelakangan ini, kedengaran pula rungutan daripada peniaga bahawa warisan bangsa tersebut semakin kurang mendapat sambutan berikutan peningkatan permintaan terhadap kopiah yang didakwa semakin popular.
Utusan Malaysia turut difahamkan, orang ramai sudah 'berubah angin' kepada kopiah yang dikatakan lebih mudah dijaga dan dibawa. Ada yang sanggup membeli kopiah diimport dari Indonesia berharga ratusan ringgit.
Tinjauan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini mendapati kebanyakan penjual mempamerkan lebih banyak kopiah berbanding songkok tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pengurus Pustaka Rezeki Harapan, Gusmen Nurmawan berkata, kini kopiah merupakan trend terbaru yang popular sejak awal Ramadan lalu dengan penjualan ribuan biji kopiah di kawasan tersebut.
"Mungkin kerana ketelitian sulaman dan warnanya yang menarik membuatkan si pemakai memilih kopiah yang fesyennya dilihat turut berkembang sejajar peredaran zaman.
"Kini kopiah bukanlah sesuatu yang menjadi pilihan kerana sifatnya yang kecil, mudah dibawa dan murah. Ia adalah sebuah hasil seni yang menyerlahkan keperibadian si pemakainya," katanya.
Bagaimanapun Gusmen yakin bahawa kedudukan songkok sebagai sebuah identiti bangsa Melayu yang merangkumi penduduk di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia tidak menerima ancaman yang besar.
Sementara itu, seorang lagi penjual, Maria Harfizal berkata, jualan songkok kedainya tahun ini menghadapi penurunan namun beliau optimis bahawa keadaan akan kembali pulih menjelang Aidilfitri.
Katanya, penurunan tersebut sememangnya selalu berlaku pada awal Ramadan namun kali ini impaknya sedikit dirasai oleh kebanyakan pemilik gerai yang bergantung pada jualan songkok mereka.
"Tahun ini mungkin tahun yang mencabar bagi peniaga kecil-kecilan seperti saya yang amat berharap pada rezeki setahun sekali ini. Namun tanggungjawab untuk mempertahankan warisan bangsa ini harus diteruskan," ujarnya.
Penjual songkok, Muhd. Aiman Alif pula berharap orang ramai akan beralih semula kepada songkok menjelang Aidilfitri kerana ia merupakan satu-satunya pelengkap kepada pemakaian baju Melayu, bukannya kopiah.