Pendapat ulamak yang mengatakan qunut tidak disyariatkan, dalil dan penolakkannya.
Pendapat ulamak yang mengatakan qunut tidak disyariatkan: Sepintas lalu
Tidak disyariatkan bermaksud, dilarang melakukannya samada di dalam sembahyang subuh, witir dan qunut nazilah (kerana bencana).
Mereka behujah dengan hadis, antaranya ialah:
1 . Dari Abu Malik al-Asyja’I, katanya: Aku berkata kepada ayahku:
Wahai ayahku, sesungguhnya engkau pernah bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali, di sini di Kufah selama hampir lima tahun, adakah mereka berqunut? Dia menjawab: Wahai anakku itu adalah bid’ah. (HR Ahmad, al-Tarmizi & Ibnu Majah)
Di dalam riwayat lain: "Apakah mereka berqunut di dalam sembahyang subuh?"
2 . Di dalam satu riwayat al-Nasa’I, katanya (ayah Abu Malik):
Aku bersembahyang di belakang Rasulullah s.a.w., baginda tidak berqunut. Aku bersembahyang di belakang Abu Bakar, dia tidak berqunut. Aku bersembahyang di belakang Umar, dia tidak berqunut. Aku bersembahyan di belakang Ali, dia tidak berqunut. Kemudian dia berkata: Wahai anakku, ia adalah bid’ah.
3 . Daripada Ibnu Mas’ud, katanya:
Rasulullah s.a.w. tidak pernah berqunut di dalam sembahyangnya sekalipun. (HR al-Thabrani, al-Baihaqi & al-Hakim).
Mereka mengatakan bahawa hadis-hadis di atas memberi petunjuk hukum, bahawa qunut adalah bid’ah yang ditegah.
Penolakan hujah menggunakan hadis ini:
Hadis-hadis di atas tidak dapat dijadikan hujah untuk menafikan qunut, kerana ada juga hadis-hadis sahih lain yang menerangkan bahawa Nabi s.a.w berqunut. Begitu juga ada diriwayatkan dari Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa mereka berqunut.
Oleh itu…. Kata-kata ayah Abu Malik al-Asyja’I tentang qunut: ["Wahai anakku itu adalah bid’ah."] menunjukkan bahawa dia tidak mengetahui bahawa qunut ada dilakukan.
Jadi… Di sini terdapat dua kumpulan, pertama yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah berqunut. Kedua yang meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah berqunut.
Bermakna… Kumpulan pertama tidak tahu bahawa qunut itu pernah dilakukan. Manakala kumpulan kedua tahu bahawa qunut pernah dilakukan.
Oleh itu, orang yang tidak tahu hendaklah mengikut orang yang tahu. Riwayat dari orang yang tahu mesti kita dahulukan dari riwayat orang yang tidak tahu.
Keputusannya: Hujah adalah bagi orang yang tahu. Dengan itu telah nyata bahawa qunut adalah disyariatkan.
Ia adalah penolakan hujah yang dilakukan oleh Ibnu Hazmin di dalam al-Muhalla terhadap orang yang mengengkari qunut.