ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Antara barangan dirampas yang digunakan suspek dalam kejadian langgar dan samun.
KUALA LUMPUR - Polis Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket langgar dan samun yang aktif beroperasi sekitar ibu negara sejak pertengahan tahun lalu dengan tertangkapnya 26 orang suspek sejak operasi dijalankan hingga kelmarin.
Sindiket didalangi warga tempatan itu dipercayai menyasarkan pemilik kenderaan mewah sebagai mangsa dan kemudiannya meleraikan enjin serta komponen kenderaan di beberapa buah bengkel sebelum dijual di pasaran gelap.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hoong Soon berkata, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan, dua lelaki telah ditahan di Bukit Bintang, 2 Februari lalu.
"Susulan tangkapan pertama itu, beberapa lagi suspek berjaya ditahan.
"Sehingga kelmarin, 26 orang suspek termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada media, semalam.
Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya telah merampas sepucuk pistol mainan, rotan panjang, gergaji besi dan parang.
"Polis juga merampas kembali lima kereta yang tidak sempat dileraikan serta 62 enjin kenderaan," katanya.
Menurutnya, jenayah itu dilakukan oleh dua hingga empat lelaki sekitar waktu pagi dan tengah malam.
"Modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah melanggar kereta mangsa dari belakang, mengacukan senjata tajam dan melarikan kereta selepas mangsa menghentikan kereta di tepi jalan untuk berbincang," katanya.
Hoong Soon berkata, sehingga pertengahan tahun lalu, pihaknya menerima 79 kes melibatkan langgar dan samun dan awal tahun ini sebanyak 37 kes dilaporkan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberhentikan kenderaan di tepi jalan selepas dilanggar tetapi terus ke balai polis untuk tindakan lanjut.