ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
MOHD. MOKHTAR SHARIFF
PULAU PINANG 23 Ogos - Kelicikan sindiket memproses dan mengedar dadah yang menggunakan khidmat kepakaran rakyat Iran lumpuh selepas tiga buah premis dipercayai markas sindiket berkenaan di negeri ini diserbu polis tiga hari lalu.
Ketiga-tiga premis yang terletak di Bukit Mertajam, Jelutong dan Georgetown di sini, dipercayai dijadikan makmal memproses dadah sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil serbuan terbabit, pihaknya berjaya merampas 324 kilogram (kg) cecair dadah jenis syabu termasuk peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses bahan terlarang tersebut yang dianggarkan bernilai RM20 juta.
Menurut beliau, turut ditahan dalam kesemua serbuan ialah empat lelaki termasuk dua warganegara Iran dan seorang wanita tempatan.
“Serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).
“Dalam serbuan di sebuah premis rumah kedai di Bukit Mertajam, polis menahan tiga lelaki termasuk dua rakyat Iran, seorang lagi lelaki ditahan di Jelutong manakala seorang wanita ditahan dalam serbuan di Georgetown,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.
Tambah Mohd. Mokhtar, mereka yang ditahan itu berusia antara 24 hingga 58 tahun dan dua rakyat Iran terbabit dipercayai diupah sindiket berkenaan bagi mendapatkan kepakaran mereka dalam menghasilkan dadah.
“Kedua-dua warganegara Iran ini dikesan dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket terbabit dan mereka bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain bagi membantu menghasilkan dadah sintetik,” katanya.
Kata Mohd. Mokhtar, kesemua mereka ditahan direman hingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Melalui maklumat awal kita dapati sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan dadah yang diproses mereka adalah untuk pasaran tempatan.
“Kita juga telah merampas dan menyita tiga buah kenderaan terdiri daripada kereta dan sebuah motosikal, wang tunai serta pelbagai barangan kemas yang semuanya dianggarkan bernilai RM69,400 dalam semua serbuan ini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd. Mokhtar memberitahu, sebanyak 119,738 tangkapan membabitkan dadah termasuk 4,537 warga asing berjaya dilakukan JSJN bagi tempoh Januari hingga 20 Ogos lalu.
“Sepanjang tempoh terbabit kita berjaya merampas pelbagai dadah jenis sintetik dan tradisional bernilai RM191 juta serta menyita harta bernilai RM44 juta dan harta yang dilucuthakkan bernilai RM4.5 juta,” jelasnya.