ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
KLIA2 yang bernilai RM4 bilion ini menjadi punca pertelingkahan berpanjangan antara MAHB dan AirAsia. Foto MAHB
WALAUPUN sudah hampir tiba saat akhir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dibuka, pertelingkahan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd (AirAsia) masih berterusan.
Terbaru, AirAsia yang akan menjadi pengguna terbesar KLIA2 enggan memindahkan operasinya kesitu selepas Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal tambang rendah (LCCT) digunakan AirAsia sekarang akan ditutup pada 9 Mei depan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dalam satu kenyataan, Rabu lalu menjelaskan sebab AirAsia mahu kekal beroperasi dari LCCT.
"Kami lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi kami mesti berpindah dalam keadaan yang betul. Bukan niat kami untuk sengaja tidak berpindah.
"Ada banyak kebimbangan, terutama tentang kebolehfungsian dan keselamatan KLIA2," menurutnya, selain berkata AirAsia akan kuasai lebih 80 peratus lalu lintas di KLIA2 yang bernilai RM4 bilion itu.
"Kami merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu nasional ini," kata Aireen.
Tidak diketahui sama ada Najib maklum berhubung rayuan itu tetapi dalam satu kenyataan dari Vietnam, Sabtu lalu, Najib berkata AirAsia perlu berpindah ke KLIA2 pada 9 Mei.
“Sebagai kerajaan kita perlu meneliti apa sebab kalau ada perkara yang mereka (AirAsia) fikir keberatan untuk berpindah tetapi yang saya mahu tekankan adalah dialog mereka dengan pihak kerajaan iaitu MAHB untuk mencari penyelesaian atas kepentingan bersama.
“Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu dilihat macam kenyataan berbaur angkuh tapi kalau mereka kata mereka ada sebab dan mereka mahu berunding dengan kerajaan, saya fikir cara itu lebih sesuai lagi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
AirAsia bimbang KLIA2 tidak selamat
Najib bagaimanapun berkata kerajaan menerusi MAHB bersedia mendengar dan berbincang dengan AirAsia jika ada sebarang masalah berhubung perpindahan itu.
AirAsia dalam kenyataan lain berkata, kajian kesediaan KLIA2 oleh perunding bebas Ikram Premier Consultings menunjukkan terdapat mendapan pada taxiway, apron dan landasan yang akan memerlukan penyenggaraan berkala.
"Ini akan mengganggu operasi kumpulan AirAsia yang ada kira-kira 400 pergerakan kapal terbang sehari dan 70 pesawat di LCCT.
"Penting untuk pastikan semua langkah pembaikan dibuat sebelum perpindahan untuk kurangkan risiko berkaitan insiden udara," kata AirAsia.
Syarikat itu turut tidak bersetuju dengan tempoh dua bulan ujian Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT) ditetapkan MAHB bagi KLIA2.
"ORAT perlu lebih lama daripada itu. Malah semasa perpindahan dari KLIA ke LCCT pada 2006 juga, ORAT mengambil masa lebih daripada dua bulan sedangkan pada masa itu operasi AirAsia jauh lebih kecil," menurut AirAsia.
MAHB, AirAsia beri penjelasan logik
Alasan diberikan AirAsia memang logik, tetapi begitu juga dengan penjelasan MAHB tentang semua dakwaan AirAsia.
Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Operasi) MAHB Datuk Azmi Murad menegaskan hampir kesemua kehendak AirAsia untuk KLIA2 telah dipenuhi dan MAHB sangat berpuas hati dengan hasil ujian ORAT.
Beliau juga berkata, KLIA2 lebih selamat berbanding LCCT kerana ia akan melaksanakan sistem pemprosesan penumpang seragam oleh SITA, penyedia utama dunia bagi penyelesaian perniagaan IT bersepadu.
Beliau berkata, AirAsia tidak mahu menggunakan sistem SITA dan mahu sistem pemeriksaan masuk manual seperti di LCCT kini.
“Kita tidak boleh bandingkan KLIA2 dengan LCCT. Berdasarkan kapasiti penumpang yang besar dijangka dikendalikan oleh KLIA2, agak mustahil untuk beroperasi secara manual seperti dulu,” katanya kepada Bernama.
Azmi juga mempertahankan pembinaan jambatan udara di KLIA2 yang penting bagi penumpang bermasalah fizikal, warga tua dan ibu dengan anak kecil selain ketika cuaca buruk seperti hujan lebat.
AirAsia berkata jambatan udara itu pembaziran dan akan menaikkan kos operasi mereka, namun menurut Azmi caj penggunaan jambatan udara itu hanya RM85.00 sekali guna atau kurang 25 sen bagi seorang penumpang, dan AirAsia boleh memilih untuk tidak menggunakannya.
Bagi isu keretakan di landasan kapal terbang, Azmi berkata ia adalah normal dan proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Azmi berkata, Malindo Air melakukan pendaratan percubaan di KLIA2 pada Oktober lalu, membuktikan landasan itu berkeadaan baik.
Bila isu ini akan berakhir?
Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tepat apabila berkata AirAsia sepatutnya mengemukakan kemusykilan tentang perpindahan itu pada peringkat awal.
“Sekarang KLIA2 dah hampir siap, kita tidak boleh berpatah balik dan mereka (AirAsia) tidak boleh mengatakan ‘kita tidak mahu berpindah’ kerana mereka perlu berpindah ke sana,” katanya.
Aireen pula sebelum itu menegaskan AirAsia berusaha sebaik mungkin sejak tiga tahun lalu untuk menyelesaikan semua isu dengan MAHB supaya AirAsia dapat berpindah ke 'rumah baru kami'.
Dan apa pula kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes mengenai isu ini?
"Sejarah akan menilai AirAsia yang berjuang untuk orang biasa," katanya melalui akaun Twitter, Februari lalu.
Jadi, sebagai rakyat yang menjadi pemerhati, mungkin kita perlu menunggu lebih lama untuk mendapat jawapan siapa mangsa dan siapa pemangsa dalam isu ini.