kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,810
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,810
- Reaction score
- 98
- Points
- 80
Setem Borneo Utara Wadah Selami Sejarah, Ilmu Filateli
Pengumpul setem Borneo Utara William Wang, 67, yang diberi gelaran "Raja Segala Hobi" atau King of Hobbies menunjukkan koleksi "pre-stamp North Borneo entire" dalam temu bual bersama BERNAMA baru-baru ini. William berpandangan bahawa mengumpul setem bukan sekadar aktiviti, sebaliknya menjadi wadah untuk mendalami sejarah, ilmu dan perkembangan masyarakat menerusi setiap keping setem yang dikumpulkannya. Bagi ahli filateli itu, minatnya bermula ketika beliau berusia 10 tahun selepas mendapat dorongan daripada bapanya yang ketika itu merupakan seorang pengetua sekolah, selain bertukar-tukar setem dengan rakan sekolah. Kini, koleksi utama William merangkumi setem Borneo Utara dari 1883 hingga 1963, selain sampul surat lama, poskad dan cop pos, termasuk pre-stamp entire yang dikeluarkan pada 1845, iaitu sebelum Borneo Utara mengeluarkan setem pertamanya pada 1883. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bagi pengumpul setem Borneo Utara, gelaran sebagai Raja Segala Hobi bukan sekadar aktiviti mengumpul setem tetapi menjadi wadah mendalami sejarah, ilmu dan perkembangan masyarakat, kata ahli filateli William Wang.
William, 67, berkata minat itu bermula ketika berusia 10 tahun selepas mendapat dorongan bapanya, seorang pengetua sekolah selain kerap bertukar-tukar setem dengan rakan sekolah.
Koleksi utama beliau merangkumi setem Borneo Utara dari 1883 hingga 1963 selain turut meliputi sampul surat lama, poskad, cop pos dan pre-stamp entire yang dikeluarkan pada 1845, iaitu sebelum Borneo Utara mengeluarkan setem pertamanya.
“Terdapat sesuatu yang berunsur terapi berhubung hobi ini pada abad ke-21 kerana filateli menawarkan ketenangan fizikal daripada keletihan digital berterusan.
“Berada di meja dengan sepit setem, kanta pembesar dan koleksi sampul surat sejarah memerlukan fokus, kesabaran serta sifat ingin tahu yang membolehkan kita mengkaji dan menyelami sejarah tanpa gangguan skrin digital,” katanya kepada Bernama.
William yang juga ahli Persatuan Setem Malaysia (PSM) berkata setem Borneo Utara dengan nilai dua sen digunakan untuk penghantaran surat di seluruh Sabah termasuk ke Singapura, Melaka, Pulau Pinang dan Hong Kong dari 1883 hingga 1891.
Bagi penghantaran surat ke United Kingdom (UK), beliau berkata pengirim perlu menggunakan setem Negeri-Negeri Selat yang dibeli di pejabat pos Elopura, Kudat dan Gaya.
“Setem bukan sekadar resit penghantaran pos, sebaliknya ia jendela kecil ke masa lampau yang merakamkan seni, sejarah, geografi dan kisah manusia pada sekeping kertas kecil,” katanya.
William berkata minat terhadap filateli turut menyebabkan beliau mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai pameran di luar negara seperti Indonesia, New Zealand, Uruguay, China, Brazil dan Thailand.