KUALA LUMPUR - Figos Sdn. Bhd. menaja buat kali kedua Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Malaysia 2011 yang memulakan Saringan Zon Selatan Sabtu ini.
Pengurus Pemasaran Figos Sdn. Bhd., Louis Fun Chen Wai berkata, pihaknya bekerjasama menjayakan kejohanan kali ini ekoran sambutan memberangsangkan daripada peserta pada kejohanan pertama tahun lalu.
"Sepak takraw merupakan sukan yang cukup popular di negara ini dan saya lihat sambutan yang diberikan amat luar biasa daripada orang ramai," katanya.
Louis berkata demikian selepas menyerahkan penajaan Figos kepada wakil Kumpulan Utusan, Pengurus Kanan Jabatan Teknologi Maklumat, Abdul Halim Johar, baru-baru ini.
Menurutnya, selain futsal, Figos berhasrat mengembangkan jenamanya dalam sukan sepak takraw.
"Kami mengeluarkan kasut, Qatto 3 generasi ketiga yang direka khusus untuk pemain sepak takraw.
"Ia ringan dan memiliki ciri-ciri keselamatan bagi melindungi kaki pemain daripada tercedera," katanya.