Pada hari ini, ramai penjual di laman edagang masih melakukan penyenaraian dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, dan ada yang tidak menyertakan penyenaraian bahasa Malaysia dalam penyenaraian mereka. Namun, perkara berkenaan dijangka akan berubah tidak lama lagi. Mengikut perundangan yang diluluskan pada 25 Disember 2024 lepas, ia ditetapkan yang mana maklumat yang dizahirkan oleh pembekal dan penjual atas talian di gedung jual-beli mestilah dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Malaysia. Ini sekaligus akan memerlukan semua tajuk dan maklumat sesuatu produk atau perkhidmatan ditulis dalam bahasa Malaysia. Selain maklumat dalam bahasa kebangsaan, penjual atau pembekal boleh melakukan terjemahan tambahan dalam bahasa lain untuk penzahiran maklumat.
Pada masa yang sama, mengikut peraturan sama, pembekal atau penjual perlu menanggung kos penghantaran semula kepada pembeli sekiranya barang yang diterima oleh pembeli berbeza secara matan atau mengandungi kecacatan. Beberapa platform jual-beli telah mula menghantar makluman berkaitan perkara ini kepada para penjual mereka, dan bersedia dengan perubahan baharu ini.
Lazada Mengingatkan Penjual Untuk Penyenaraian Dalam Bahasa Malaysia Berkuat-kuasa 24 Jun 2025 - Atau Penyenaraian Di Gantung
Selari dengan peraturan KPDN, kini Lazada telah mula menghantar peringatan kepada para penjual, untuk melakukan penyenaraian dalam Bahasa Malaysia, menjelang penguat-kuasaan bermula 24 Jun 2025. Dibawah peraturan ini, semua penjual perlu menyenaraikan produk mereka dalam Bahasa Malaysia, termasuk untuk tajuk produk dan juga penerangannya. Penjual boleh menambah bahasa lain sekiranya inginkan, tetapi semua diwajibkan untuk penyenaraian dalam Bahasa Malaysia.
Lazada mengingatkan sekiranya penjual gagal mematuhi peraturan ini, penyenaraian produk mereka akan dikunci supaya tidak boleh dibeli. Disamping itu, Lazada turut akan kenakan markah demerit sehingga 48 mata atas akaun pengguna. Selain Lazada, atas perundangan KPDN, penjual individu akan dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama atau penjara 3 tahun. Sementara untuk entiti korporat pula, akan dikenakan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan pertama.
Shopee Mengingatkan Penjual Guna Bahasa Malaysia Untuk Tajuk & Maklumat Penyenaraian
Lanjutan daripada penguat-kuasaan perundangan baharu, sebelum ini Lazada telah memaklumkan para penjual untuk menggunakan Bahasa Malaysia dalam penyenaraian dan maklumat barang atau perkhidmatan yang dijual pada platform mereka. Kini, selain Lazada, pihak Shopee turut telah mengeluarkan peringatan kepada para penjual mereka.
Shopee meminta para penjual untuk menggunakan Bahasa Malaysia dalam penyenaraian produk mereka. Tidak setakat itu, Shopee sendiri akan membantu dengan menambah ciri terjemahan dinamik untuk penyenaraian produk oleh pengguna. Bagi para penjual yang menggunakan platform Shopee, boleh menyemak semula penyenaraian anda, dan mnggunakan bahasa Malaysia dalam penyenaraian dan penjualan produk anda.
KPDN Tangguh Penguatkuasaan Maklumat Barangan Di Stor Atas Talian Perlu Dalam Bahasa Malaysia
Minggu lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan arahan kepada pengendali stor atas talian seperti Shopee dan TikTok Shop untuk menyertakan maklumat barangan yang dijual dalam Bahasa Malaysia.
Ini adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2024 yang diluluskan Disember tahun lalu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Penguatkuasaan ini sepatutnya bermula hari ini tetapi telahpun ditangguhkan oleh KPDN.
Selepas menerima reaksi negatif daripada pelbagai pihak, KPDN menangguhkan arahan ini dan akan bertemu dengan pengendali stor atas talian utama untuk membincangkan isu serta mengumpul maklum balas. Walaupun Lazada dan Shopee mengeluarkan telah menguatkuasakan arahan ini, timbul isu seperti penggunaan Bahasa Malaysia yang salah serta alih bahasa automatik yang menjadikan maklumat produk mengelirukan. Tinjauan kami sejak minggu lalu menemukan kesilapan berlaku dalam kalangan peniaga dari China yang menggunakan sistem alih bahasa. Dalam kes lain pula, kerangka telefon pintar Honor 400 disenaraikan sebagai “Kehormatan 400”.
Kegagalan menyenaraikan maklumat barangan yang dijual dalam Bahasa Malaysia boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara tiga tahun jika pesalah ialah individu. Kesalahan oleh entiti korporat pula akan dikenakan denda RM100,000 untuk kesalahan pertama.