Tp sapa ckp semua MLM haram??
Yg haram adalah unsur money game, skim cpt kaya.
Jgn nilaikan semua MLM sama
Pendapatan melalui mlm
Soalan; Apakah hukum bagi pendapatan yang diperolehi hasil daripada MLM. Ia diniagakan dengan cara yang halal, produk yang halal tetapi menggunakan sistem piramid? Yang mana seseorang itu mendapat pendapatan melalui usaha orang yang berada di bawahnya?
Jawapan;
MLM sebagaimana juga sistem perbankan, saham, insurans dan sebagainya lagi dari muamalah-muamalah baru yang wujud hari ini, tidak boleh kita hukum sebagai haram secara borong kerana hukum asal bagi segala muamalah duniawi adalah harus hinggalah kita dapat membuktikan sebaliknya. Para ulamak menjelaskan; “Hukum asal bagi segala mu’amalah di dalam Islam adalah harus hinggalah ada dalil menunjukkan kepada pengharamannya (Majmu’ al-Fatawa (Ibnu Tamiyyah) (28/386), al-Fawaid al-Bahiyyah (m.s. 115), al-Jawahir al-Mudhiah (2/519-520)).
Tatkala Rasulullah tiba di Madinah (selepas peristiwa hijrah) baginda mendapati penduduk Madinah biasa bermu’amalah dengan satu sistem perniagaan yang diberi nama as-Salam (yakni jual-beli secara tempahan). Baginda tidak melarangnya (dengan alasan ia bukan berasal dari Islam), sebaliknya baginda memberi garis panduan kepada mereka yang ingin menggunakannya (agar mu’amalah itu berjalan tanpa melanggari Syariat) dengan sabda baginda;
Sesiapa ingin melakukan akad tempahan, hendaklah ia melakukan akad dengan sukatan yang diketahui, dengan timbangan yang diketahui dan dengan tempoh yang diketahui.
(Riwayat Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lafaz adalah dari Muslim).
Darul-(Majlis Fatwa) Mesir (yang diketuai oleh Muftinya Syeikh Dr. ‘Ali Jumaah) dalam fatwanya tahun 2007 telah memutuskan tentang MLM sebagaimana berikut;
1. MLM adalah satu bentuk akad baru yang menggabungkan dua akad, iaitu;
a) Akad jual-beli; iaitu akad jual-beli antara Syarikat dan pembeli yang bakal menjadi pengedarnya dengan memenuhi syarat-syarat tambahan (yang ditetapkan oleh Syarikat).
b) Akad al-Ju’alah (yakni akad pemberian yang diikat dengan suatu kerja/peranan); di mana al-Ja’il (yakni orang yang menawarkan pemberian) adalah Syarikat, al-Maj’ul lahu (yakni orang yang ditawarkan pemberian kepadanya) ialah pengedar-pengedarnya, al-‘Amal (yakni kerja/peranan yang menjadi syarat untuk mendapat pemberian) ialah menjalankan pemasaran/penjualan produk dan mendatangkan pembeli/pengedar baru untuk syarikat dan al-Ju’l (yakni pemberian) ialah hadiah/bonus mengikut peratus tertentu kepada harga barangan/produk.
2. Di antara prinsip-prinsip am bagi muamalah Islam ialah;
a) Jujur dan amanah; iaitu pihak Syarikat dan para pengedarnya hendaklah sentiasa jujur dalam menerangkan ciri-ciri produk/barangan yang dijual kepada pengguna.
b) Muamalah hendaklah bebas dari sebarang bentuk penganiayaan; oleh itu diharamkan menjual produk/barangan yang tiada sebarang faedah kepada pengguna/pembeli kerana ia termasuk dalam memakan harta orang lain secara batil dan merupakan pembohongan dan penipuan. Apatahlagi jika yang dijual adalah produk yang mendatangkan mudarat, maka ia lebih-lebih lagi diharamkan.
c) Muamalah juga hendaklah bebas dari gharar, riba dan juga pertaruhan/perjudian.
d) Khusus bagi akad jual-beli, disyaratkan;
i) Barangan/produk yang dijual hendaklah wujud semasa akad, diketahui oleh kedua pihak yang berakad, merupakan harta yang diakui oleh Syarak, dimiliki oleh penjual dan mampu diserah.
ii) Bagi sighah (pernyataan akad); hendaklah lahir (dari dua pihak yang berakad) tanda atau reaksi mereka yang menunjukkan persetujuan untuk melakukan akad dan memberi milik kepada pihak lain dengan mendapat tukaran.
iii) Bagi dua pihak yang berakad; disyaratkan mereka hendaklah mempunyai keahlian untuk menjalankan akad, redha/bersetuju dengan akad yang dijalankan dan memiliki kuasa ke atas barang yang diakadkan sama ada sebagai pemiliknya atau wakil kepada pemilik.
e) Khusus bagi akad al-Ju’alah pula, disyaratkan;
i) Orang yang menawarkan al-ju’l (pemberian/bonus); ia hendaklah membuat penawaran dengan pilihan sendiri (tanpa dipaksa) dan memiliki hak terhadap pemberian tersebut.
ii) Orang yang berkerja/berperanan untuk mendapat pemberian tersebut; ia hendaklah seorang yang mampu untuk melakukan kerja/peranan yang menjadi syarat kepada pemberian tersebut.
iii) al-Ju’l (pemberian/bonus) yang ditawarkan; hendaklah ia diketahui (yakni bukan suatu yang majhul atau samar-samar), bersih dan halal, mampu diserahkan dan dimiliki oleh al-Ja’il (orang yang menawarkan pemberian/bonus).
f) Telah menjadi ketetapan dalam Qawaid Syarak (prinsip-prinsip Syariat Islam) bahawa hukum asal bagi segala muamalat –mengikut Islam- adalah harus. Segala muamalah yang tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya sebagai haram tidaklah ia haram.
g) Setelah membuat penjelasan (yang diringkaskan) di atas, Majlis Fatwa Mesir menegaskan; “Berdasarkan keterangan yang lalu, kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (yakni MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (hadiah/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (barang/produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat hadiah/bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (hadiah/bonus) kepadanyaâ€. (Ulasan saya; apa yang ingin dijelaskan oleh fatwa di atas ialah; Tidak ada larangan (dari Syarak) untuk syarikat memberi bonus kepada pengedarnya dengan persen dari belian oleh pembeli-pembeli di bawahnya sekalipun belian itu bukan melaluinya akan tetapi melalui orang-orang yang didatangkannya (kepada syarikat). Ini kerana sebab/faktor (yang melayakkannya mendapat bonus) masih kekal dan dengan kekalnya sebab/faktor itu mencukupi (untuk ia terus diberi bonus oleh syarikat). Tidak ada dalam qaedah-qaedah Syariat yang menghalang syarikat untuk memberi bonus kepadanya. Malah bonus itu boleh menjadi pendorong kepadanya untuk terus membantu ahli-ahli di bawahnya sehingga perolehan mereka menjadi semakin besar).
Begitulah ringkasan Fatwa dari Majlis Fatwa Mesir berkenaan MLM. Sebenarnya banyak lagi penjelasan yang terdapat dalam fatwa tersebut, namun kita tidak dapat menurunkan kesemuanya dalam ruang ini kerana tidak bersesuaian. Pembaca boleh mengikutinya di; (
http://www.dar-alifta.com/ViewFatwa.aspx?ID=5158).
Berbeza dengan pendekatan Majlis Fatwa Mesir di atas -yang tidak menghukum semua MLM sebagai haram, sebaliknya memberi garis panduan -, terdapat di sana fatwa-fatwa lain yang cenderung menghukum semua MLM sebagai haram antaranya fatwa dari Majlid Fatwa Arab Saudi. Bila dibaca dan diteliti fatwa-fatwa ulamak yang mengharamkan semua jenis MLM itu, kita akan dapati bahawa ia sebenarnya bukan ditujukan kepada MLM, akan tetapi kepada Money Game atau Skim Piramid. Tidak mustahil ramai yang terkeliru antara MLM dan Money Game berpunca dari terdapatnya syarikat yang menjalankan Money Game tetapi berselindung disebalik MLM. Di bawah ini saya turunkan dua perbezaan asas antara MLM dan Money Game/Skim Piramid;
1. MLM ialah pemasaran dengan system jualan lansung dari pengeluar produk (syarikat) ke pengguna melalui multi (banyak) level (tingkat) jaringan. Jadi, inti MLM ialah pada kata “marketing†(pemasaran) bukan multi levelnya. Adapun money game intinya ialah game (permainan wang). Ia sama sekali tidak masuk dalam kategori marketing (pemasaran).
2. Dalam MLM, keuntungan atau hasil yang bakal diperolehi para pengedar (atas nama bonus, insentif atau sebagainya) bergantung kepada jumlah produk yang berjaya dijual kepada pengguna melalui kerja dan peranan yang dimainkan oleh para pengedar. Adapun dalam money game, keuntungan ditentukan oleh sejauh mana orang yang terbabit berjaya merekrut orang lain yang memasukkan sejumlah wang hingga terbentuk satu format pyramid. Kesimpulannya, keuntungan dalam MLM diperolehi dari usaha penjualan produk, adapun dalam money game atau skim pyramid ia diperolehi dari merekrut orang sahaja.