ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
JAKARTA 20 Ogos - Operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi pesawat Trigana Air yang terhempas di daerah Okbape, Pergunungan Bintang, di Papua pada Ahad lalu akan dihentikan esok, berikutan kesemua 54 mayat penumpang dan anak kapal yang terbunuh dalam nahas itu, telah berjaya dikeluarkan dari kawasan kejadian.
Kesemua mayat telah diterbangkan ke Jayapura, Papua dan empat daripadanya telah diserahkan kepada keluarga masing-masing setelah bedah siasat dan proses pengecaman mayat selesai diadakan di Hospital Byayangkara, hari ini.
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Bambang Soelistyo berkata, ekoran kesemua mayat sudah dikeluarkan dan kotak hitam juga telah dijumpai, operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan esok.
“Selepas pasukan pencari dan penyelamat kembali nanti, upacara penutup akan dilakukan di Lapangan Terbang Sentani esok,’’ katanya sambil bersyukur kerana dua tugas utama Basarnas iaitu mencari mangsa dan kotak hitam berjaya dilaksanakan.
Dua peralatan kotak hitam iaitu Perakam Suara Kokpit (CVR) ditemukan pada hari kedua tragedi, manakala Perakam Data Penerbangan (FDR) ditemukan hari ini.
Menurut Soelistyo, sebanyak 50 mayat mangsa tragedi tersebut dibawa ke Jayapura, hari ini melalui tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Oksibil, manakala empat mayat telah dibawa semalam.
Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan, empat daripada mayat mangsa tragedi Trigana Air yang telah dikenal pasti, telah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.
Nahas tersebut berlaku ketika pesawat jenis ATR 42-400 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Sentani, Jayapura pada Ahad lalu menuju ke Oksibil di Pergunungan Bintang, Papua sebelum pesawat itu putus hubungan dan dilaporkan terhempas di Kampung Oksop, Daerah Okbape, Kabupaten Pergunungan Bintang.
Kesemua 54 penumpang termasuk lima anak kapal pesawat itu disahkan terbunuh. – UTUSAN