BTC USD 60,602.3 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Sektor automotif berdepan cabaran

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120

image.jpg

Mohamad Madani Sahari


TAHUN 2015 menjadi cabaran buat sektor automotif kerana berhadapan situasi ketidaktentuan dalam pasaran semasa. Selain terpaksa menghadapi kesan akibat kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pemain industri automotif juga berdepan dengan penurunan harga minyak mentah dunia ketika ini.Tambahan pula, ketidaktentuan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan keadaan ekonomi global yang suram juga boleh menyebabkan pengguna berhati-hati untuk berbelanja.

Pemain industri automotif pula menjangkakan sektor tersebut akan perlahan pada separuh masa tahun ini. Ikuti temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari mengenai jangkaan pertumbuhan sektor automotif pada tahun ini.

Pada Julai tahun lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dilaporkan menyatakan sasaran peningkatan dalam jumlah jualan kenderaan (TIV) sebanyak dua peratus pada tahun ini. Adakah ini bermakna, kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran TIV 693,600 kereta pada 2015?

Kami, MAI meramalkan jumlah TIV dijangka meningkat kepada 700,000 unit pada tahun ini. Ramalan itu dibuat pada Oktober tahun lalu selepas melakukan analisis TIV sebulan sebelumnya.

Pada September lalu, isu semasa seperti harga minyak mentah yang rendah dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak dipertimbangkan.

Kami dalam proses membuat permodelan semula unjuran TIV kami dengan mengambil kira jumlah jualan kenderaan bagi suku terakhir 2014 dan faktor ekonomi lain. Unjuran TIV baharu pada 2015 akan diumumkan pada bulan ini.

Bagaimana pula jangkaan MAI terhadap jualan kereta nasional pada separuh kedua 2014 dan tahun ini?

Sehingga November tahun lalu, jumlah jualan kereta nasional adalah sekitar 48 peratus daripada bahagian pasaran. Pada 2015, berdasarkan model dan varian baru yang dirancang syarikat kereta nasional serta melihat kepada potensinya, kami meramalkan, pasaran saham yang menggabungkan Proton dan Perodua akan mencapai 52 peratus daripada jumlah jualan kenderaan domestik.

Bolehkah jualan kereta nasional mengekalkan bahagian pasaran mereka?

Syarikat pengeluar kereta nasional itu mampu mengekalkan bahagian pasaran mereka dan kami jangkakan ia akan bertambah baik pada tahun ini.

Adakah polisi liberalisasi Dasar Automotif Negara (NAP) menimbulkan ancaman kepada jualan kereta nasional?

Gambaran yang lebih besar dalam liberalisasi ini adalah untuk meningkatkan daya saing keseluruhan industri automotif. Industri yang berdaya saing menyediakan platform kondusif bagi setiap pesertanya untuk meningkatkan keupayaan mereka dan menjadi lebih buat.

Ia sudah pastilah ada cabaran-cabarannya. Sebab itulah NAP 2014 telah membangunkan peta jalan (roadmaps) untuk memperbaiki asas-asas industri, selain melaksanakan langkah strategik untuk membolehkan pertumbuhan lebih berstruktur.

Bagaimana pula pandangan MAI tentang segmen kenderaan mesra alam pada tahun ini memandangkan kejatuhan harga minyak mentah dunia?Kenderaan mesra alam atau kenderaan cekap tenaga (EEV) akan terus berkembang. Ia bukan soal harga bahan api, tetapi ia berkaitan dengan teknologi EEV sendiri yang meningkatkan keselesaan dan keselamatan.

Tambahan pula, EEV juga bermakna kerana penggunaan bahan api yang lebih rendah. Tidak kira sama ada harga bahan api turun atau naik, pengguna yang memandu kenderaan EEV akan sentiasa menang dari segi kos pemilikan lebih rendah.

Apakah kesan penurunan harga minyak kepada industri automotif?Ini adalah fenomena baru yang memerlukan analisis yang lebih mendalam. Kami sedang membuat satu kajian bagi memahami kesan ini dalam jangka panjang terutama jika keadaan ini berterusan.

Secara umumnya, terdapat campuran tindak balas kerana industri automotif tempatan menggunakan kedua-dua mata wang dolar AS dan Yen untuk transaksi antarabangsa mereka. MAI akan mentafsir sejauh mana kesan dolar di seluruh rantaian bekalan dan kepentingannya.

MAI sebelum ini pernah menyatakan, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan menyebabkan penurunan kecil dalam harga kereta.

Bagaimanapun, adakah anda berfikir pelaksanaan GST boleh menjejaskan kepentingan pengguna dalam membeli kereta?

Sesetengah pengguna akan mengambil sikap tunggu dan lihat, manakala yang lain pula sebaliknya. Saya rasa ini adalah satu proses semula jadi. Ia adalah pasaran bebas dan pengguna mempunyai hak untuk memilih apa yang mereka mahu.

Lebih banyak kuasa pasaran akan menentukannya. Bagaimanapun, keadaan ini sedang dipantau rapi oleh pengeluar kereta (OEM). OEM biasanya menyesuaikan pelan pemasaran mereka sewajarnya dan secara tidak langsung, ia akan memberi manfaat kepada pengguna.
 
Back
Top
Log in Register